IPOH 8 Jun – Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir telah keluar dari kediaman rasmi di Jalan Raja Dihilir di sini sepenuhnya.
Bagaimanapun kata Ahmad Faizal, beliau masih belum berpindah ke kediaman rasmi tersebut kerana terdapat beberapa perkara yang sedang dilakukan di rumah tersebut termasuk pengubahsuaian kecil melibatkan sistem paip.
“Maklumat yang saya terima Datuk Seri Zambry telah keluar dari kediaman tersebut dengan sepenuhnya, cuma saya yang belum pindah ke kediaman itu kerana ada beberapa perkara yang sedang dibuat.
“Jadi apa yang ditularkan dalam media sosial kata beliau (Zambry) masih tidak keluar itu tidak tepatlah,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan sumbangan sebanyak lebih RM3.5 juta untuk Tabung Harapan Malaysia (THM) daripada beberapa syarikat dan usahawan dari negeri ini di Pejabat Menteri Besar di sini hari ini.
Ahmad Faizal mengulas kenyataan yang dikeluarkan seorang pengguna laman sosial facebook yang menggunakan nama Mariam Mokhtar Admrl-Gen yang mempertikaikan tindakan Zambry yang masih belum mengosongkan kediaman berkenaan selepas tidak lagi bergelar Menteri Besar.
Ahmad Faizal berharap perkara tersebut tidak dipanjangkan kerana ia tidak sihat untuk pembinaan negara.
“Saya tidak pasti bila beliau (Zambry) keluar, tapi kita bukan demokrasi seperti di negara-negara barat, di sini kita tidak begitu menekan.” ujarnya.











