Ronaldo kembali, Portugal benam 
 Algeria - Utusan Malaysia

Ronaldo kembali, Portugal benam 
 Algeria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LISBON 8 Jun – Dengan Cristiano Ronaldo beraksi buat kali pertama, Portugal meraih kemenangan selesa 3-0 ke atas Algeria dalam perlawanan pemanas badan ter­akhir mereka sebelum ke Rusia untuk kempen Piala Dunia.

Ronaldo, yang tidak bermain sejak membantu Real Madrid muncul juara Liga Juara-juara tiga kali berturut-turut bulan lalu, merancang satu daripada gol Portugal di Stadium of Light. Dia turut menjaringkan gol tetapi tidak dibenarkan kerana ofsaid sebelum digantikan pada minit ke-75.

Ronaldo hanya mula me­nyertai skuad Portugal pada Isnin lalu, lebih lewat daripada anggota lain skuad itu kerana diberi rehat selepas perlawanan akhir Liga Juara-juara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Portugal membuka jaringan pada minit ke-18 menerusi rembatan Goncalo Guedes dari dalam kawasan penalti selepas menerima umpanan menerusi tandukan cantik Bernardo Silva.

Bruno Fernandes menambah gol pada minit ke-37 apabila membuat tandukan jarak dekat hasil umpanan lintang oleh Ro­naldo dan Guedes menjaringkan gol keduanya pada awal babak kedua menerusi tandukan selepas Raphael Guerreiro me­ngumpan dari sebelah kiri.

Portugal membuat satu lagi jaringan ketika perlawanan hampir tamat tetapi dibatalkan oleh semakan video kerana Guedes terpegang bola.

Portugal yang akan ke Rusia esok, seri dalam dua perlawanan pemanas badan sebelum ini iaitu 2-2 dengan Tunisia 2-2 dan tanpa jaringan dengan Belgium.

Jurulatih Fernando Santos akan ke Rusia bersama 13 pemain yang membantu pasukan itu memenangi gelaran besar pertama mereka iaitu Kejohanan Eropah dua tahun lalu di Perancis.

Portugal akan memulakan kempennya dalam Piala Dunia dengan menentang jiran mereka di semenanjung Iberia iaitu Sepanyol pada 15 Jun di Sochi. Perlawanan Kumpulan B lainnya ialah menentang Maghribi dan Iran.

Algeria tidak layak ke Piala Dunia. – AP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini