PUTRAJAYA 8 Jun- Kesesakan teruk di laluan Link Kedua, Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, Johor pada Rabu lalu berpunca daripada penutupan kaunter Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ketika waktu berbuka puasa.
Jabatan itu dalam kenyataannya berkata, faktor lain ialah semua lori terpaksa melalui satu lorong sahaja bagi tujuan pemeriksaan dan pelepasan kastam akibat penurapan jalan dan kerja menaik taraf jalan berlubang di kawasan KSAB.
Ekoran masalah kesesakan itu, JKDM telah melaksanakan siasatan serta merta dan hasil siasatan awal mendapati penutupan kaunter itu adalah tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
“Siasatan segera telah dilakukan bagi mengelak perkara ini berulang termasuk siasatan dalaman untuk mengenal pasti pelanggaran SOP. Tindakan tegas akan diambil jika didapati berlaku sebarang salah laku oleh mana-mana pegawai.
“Kami juga akan terus memantau perkara ini dan akan memastikan setiap SOP yang telah ditetapkan adalah dipatuhi,” kata jabatan itu dalam satu kenyataannya di sini hari ini.
Dalam pada itu katanya, hasil pemantauan yang dilakukan semalam mendapati trafik kembali lancar di laluan berkenaan dan JKDM mengucapkan terima kasih atas kesabaran penguna-pengguna, segala kesulitan amatlah dikesali.-UTUSAN ONLINE











