KUALA LUMPUR 8 Jun – Kempen Keselamatan Jalan Raya Balik Kampung Yamaha terus dijalankan sebagai acara tahunan Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) sebagai suntikan kesedaran kepada semua pengguna jalan raya.
Menurut Pengarah Urusan HLYM, Datuk Jim Khor berkata, kempen sebegini menjadi salah satu kewajipan pihak HLYM bagi memberi peringatan dan meningkatkan kesedaran kepada semua pengguna jalan raya tanpa mengira peringkat umur.
“Kempen sebegini telah membolehkan kami memperkenalkan aktiviti kemasyarakatan dengan matlamat untuk memupuk dan meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan penunggang motorsikal muda dan kanak-kanak.
“Ini sangat penting kerana keselamatan jalan raya adalah satu tanggungjawab bersama semua pihak,” katanya sewaktu menyampaikan ucapan dalam pelancaran kempen tersebut di sini hari ini.
Kempen yang dianjurkan sejak tahun 1999 itu telah memasuki edisi ke-20 bagi tahun 2018.
Usaha kesedaran kemasyarakatan itu juga merupakan kerjasama antara HLYM dan Persatuan Penjual Motorsikal dan Skuter Malaysia (MMSDA).
Dalam pada itu, sesi pemeriksaan motosikal merangkumi tujuh ciri-ciri keselamatam asas turut dijalankan sebagai panduan kepada pengguna jalan raya.
Yang turut hadir merasmikan kempen tersebut, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook. – UTUSAN ONLINE











