SAO PAULO 7 Jun – Brazil mungkin boleh berasa gah kerana telah memenangi Piala Dunia sebanyak lima kali, dan menjadi antara pasukan pilihan untuk menjuarainya di Rusia tahun ini namun pasukan dari Amerika Selatan itu masih belum mempunyai adunan kecemerlangan, kata legendanya Pele.
Brazil hanya tewas sekali dalam 20 perlawanan sejak berada di bawah bimbingan Tite yang mula melatih mereka lebih dua tahun lalu namun kebelakangan ini dia kerap terpaksa menukar pemain dalam perlawanan persahabatan kerana masalah kecederaan.
“Saya sangat yakin dengan keupayaan Tite.
“Kerisauan saya adalah berkaitan satu perkara sahaja iaitu Piala Dunia akan bermula beberapa hari sahaja lagi namun kami masih belum mempunyai pasukan yang sebenarnya.
“Secara individu memang semua pemain hebat namun tidak sebagai pasukan,” kata Pele.
Penyerang utama Neymar cedera kaki pada Februari lalu dan pemain pertahanan Dani Alves digugurkan daripada skuad kerana cedera lutut.
Renato Augusto dan Douglas Costa pula mengalami kekejangan otot kaki yang menyebabkan mereka dikeluarkan ketika Brazil menang 2-0 ke atas Croatia pada Ahad lepas.
Neymar dimasukkan selepas rehat dalam perlawanan Ahad lalu dan menjaringkan gol pertama dan Pele berpendapat penyerang itu mampu menjadi inspirasi buat Brazil menjadi juara di Rusia.
“Bagi saya Neymar masih lagi pemain terbaik dunia.
“Dia sudah semakin matang dan berpengalaman namun dia seorang tidak boleh memenangi Piala Dunia. Pasukan yang boleh memenangi Piala Dunia.
“Pasukan teragung Brazil sepanjang zaman ialah skuad 1970, dengan Tostao, Rivellino, Gerson dan Pele kesemuanya memakai baju No. 10 bersama kelab masing-masing. Dalam Piala Dunia 1970, kami menghabiskan masa selama lebih enam bulan bersama-sama. Itulah sebabnya kami berjaya,” kata Pele
Brazil hanya bermain tiga perlawanan persahabatan tahun ini dan akan berdepan Austria di Vienna pada Ahad ini dalam ujian persediaan terakhir mereka.
Brazil diundi dalam Kumpulan E bersama Switzerland, Costa Rica dan Serbia. Perlawanan pertama Brazil ialah menentang Switzerland pada 17 Jun. – REUTERS











