Sidang AS-Korea 
Utara tergugat? - Utusan Malaysia

Sidang AS-Korea 
Utara tergugat?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON 7 Jun – Perbalahan diplomatik an­tara Pyongyang-Washington bakal tercetus semula apabila pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un didakwa ‘melutut dan merayu’ supaya sidang kemuncak antara kedua-dua negara diadakan selepas Trump memba­talkannya sebelum ini.

Dakwaan itu dibuat peguam Presiden Amerika Syarikat (AS), Rudy Giuliani yang gemar membuat komentar tentang dasar luar negara meskipun tidak mendapat kebenaran Donald Trump yang juga sahabat baik beliau.

Giuliani memberitahu peserta persidangan pelaburan di Tel Aviv semalam bahawa Korea Uta­ra sebelum ini mendakwa mahu melancarkan perang nuklear ke atas Amerika dan mengalahkan Washington dalam perang itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata: “Kami katakan kami tidak akan mengadakan sidang kemuncak dalam keadaan berkenaan (diancam).

“Jong-un ‘menyembah dan merayu-rayu’ supaya ia diadakan sebagai mana yang kami ingin ia berlaku,” kata Giuliani.

Tambah peguam Trump itu, dengan persidangan itu dijadualkan semula, AS kini mempunyai kelebihan.

Kenyataan Giuliani dibuat sehari selepas White House meng­umumkan persidangan ber­sejarah pada 12 Jun ini akan berlangsung di sebuah hotel mewah di Pulau Sentosa, Singa­pura.

Dengan melihat kepada kesan kenyataan Naib Presiden AS, Mike Pence tentang senario Libya sebelum ini yang mencetuskan kemarahan Pyongyang, tidak dinafikan dakwaan Giuliani boleh menjejaskan sidang kemuncak antara kedua-dua negara.

Menurut portal RT, kenyataan peguam Trump menyebabkan pengguna Twitter mengkritik Giu­liani dengan ramai netizen menyatakan kebimbangan retorik itu boleh menjejaskan persidangan terbabit yang pernah dibatalkan sebelum ini.

“Saya akan terkejut jika persidangan dengan Korea Utara masih berlangsung selepas Giu­liani berkata, Kim Jong-un melutut dan merayu,” kata seorang pengguna Twitter.

Bekas Datuk Bandar New York itu yang diambil Trump pada April untuk menangani secara eksklusif dengan siasatan Mueller menarik perhatian pemerhati bulan lalu apabila beliau membayangkan Presiden Amerika itu berminat melakukan perubahan kerajaan di Iran.

Walaupun Jabatan Negara AS menyangkal komen Giuliani, timbul laporan yang menunjukkan Trump semakin kecewa dengan Giuliani kerana memburukkan imejnya.

Sementara itu, Menteri Luar Singapura akan melakukan lawatan dua hari ke Pyongyang bermula hari ini sebagai persediaan untuk persidangan Trump dan Jong-un.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini