PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dijangka mengumumkan penjenamaan semula projek Pusat Fitlot Nasional (NFC) secara rasmi bulan depan dalam usaha memulihkan kembali fungsi dan operasinya.
Menteri berkenaan, Salahuddin Ayub berkata, langkah penjenamaan termasuk memberi nama lain bagi menghidupkan semula projek itu yang terjejas ekoran kontroversi yang melanda NFC sebelum ini.
Katanya penjenamaan semula projek itu perlu dilakukan segera dalam usaha kerajaan mencapai sasaran meningkatkan penghasilan daging tempatan sebanyak 30 peratus sekaligus mengurangkan kebergantungan terhadap daging import.
“Kita akan teruskan idea asal NFC yang akan dijenamakan semula. Ada nama lain yang akan disiarkan nanti bagi mendapatkan operator baharu yang berkebolehan dan benar-benar berminat serta berkeupayaan untuk menjayakan projek ini.
“Saya telah meminta pihak Ketua Setiausaha kementerian untuk membuat proposal dalam tempoh sebulan,” katanya dalam temuramah eksklusif dengan Bernama di pejabatnya. – Bernama











