KUALA LUMPUR 7 Jun – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, laporan mengenai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak bertindak keluar daripada BN adalah di luar pengetahuannya.
Perkara itu sekali gus menyangkal spekulasi bahawa Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden ada bertemu dengan Presiden PBB, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, merayu agar PBB tidak meninggalkan BN.
“Laporan mengenai PBB Sarawak yang diberitakan telah meninggalkan BN adalah di luar pengetahuan saya. Malah saya tidak bertemu dengan Datuk Patinggi Ketua Menteri dan merayu agar PBB tidak meninggalkan BN, seperti yang dilaporkan.
“Namun saya amat menghormati dan mengalu-alukan pendirian PBB dan parti-parti komponen BN Sarawak yang berhasrat menjalin hubungan kerjasama antara Kerajaan Negeri Sarawak dengan kepimpinan Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, PBB Sarawak melaporkan bahawa parti itu bakal menilai semula kedudukannya dalam BN selepas kekalahan teruk parti komponen tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Dakwaan penarikan PBB daripada gabungan BN bakal mengurangkan 13 lagi kerusi parlimen BN sekaligus melemahkan parti komponen tersebut.
Mengulas lanjut, Zahid berkata, BN sentiasa berlapang dada dan berfikiran terbuka bagi menggalakkan kerajaan-kerajaan negeri di bawah BN untuk mengambil langkah yang sama demi kepentingan negeri dan rakyat. – UTUSAN ONLINE











