KUALA LUMPUR – Sebuah aplikasi penghantaran makanan dalam talian, Honestbee memperkenalkan khidmat terbaharunya iaitu Bungkus by Honestbee.
Perkhidmatan berkenaan membolehkan pelanggan memesan makanan dari lebih 40 buah restoran yang mendapat pengesahan halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Antaranya seperti Wendy’s, Kenny Rogers, Secret Recipe, Old Town White Coffee, Hokkaido Baked Cheese Tart, Vivopizza, Marrybrown dan beberapa restoran utama lain.
Pengurus Bungkus by honestbee Malaysia, Tengku Afni Natasha Tengku Asmat berkata, perkhidmatan tersebut memudahkan golongan eksekutif kelas menengah khususnya yang sibuk bekerja untuk mendapatkan makanan terutamanya pada bulan Ramadan.
“Ia dijangka menjangkau ribuan pelanggan setiap bulan dan menawarkan pilihan hidangan yang segar, tersendiri dan lebih penting ianya khusus kepada pelanggan muslim.
“Sejak kehadiran kami dalam khidmat penghantaran makanan di Malaysia selama hampir dua tahun, kami telah melihat perkembangan yang positif pada jumlah pelanggan harian dan kami amat gembira dengan kepercayaan yang diberikan oleh pelanggan,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.
Jelas Tengku Afni lagi, pengenalan perkhidmatan Bungkus juga merupakan lanjutan daripada jenama perkhidmatan sedia ada honestbee.
Katanya, Bungkus by honestbee diperkenalkan khas untuk memenuhi tuntutan pelanggan beragama Islam yang semakin meningkat dengan fokus kepada penghantaran makanan dari restoran-restoran halal.
Sebagai promosi pelancarannya, pelanggan yang mendaftar sebelum 30 Jun ini akan menikmati potongan sebanyak RM15 dari tempahan mereka dengan menggunakan kod promo, BUNGKUSLAH.
Sempena bulan Ramadan, Bungkus by honestbee memberikan potongan 40 peratus dari menu harian dengan slot masa penghantaran khas untuk semua pesanan.
Untuk maklumat lanjut, muat turun aplikasi Honestbee di Google Play and App Store atau layari laman web www.honestbee.my. – K! ONLINE











