BANTING – Felcra Berhad (Felcra) akan mengagihkan keuntungan interim suku pertama 2018 bagi hasil ladang sehingga April lalu berjumlah RM44.9 juta kepada 56,671 peserta di seluruh negara sempena sambutan Aidilfitri ini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Mohd. Harun berkata, secara keseluruhannya dari segi hasil ladang Felcra telah mencatatkan peningkatan produktiviti hasil sawit kepada 4.91 metrik tan sehingga April berbanding 4.69 metrik tan yang dicatatkan sehingga April tahun lalu.
Katanya, peningkatan ini adalah hasil usaha pengurusan dalam meningkatkan kecekapan pengurusan ladang di samping mengawal kos pengeluaran.
“Jumlah keluasan ladang yang berhasil dalam menjana agihan keuntungan interim ini adalah seluas 43,341 hektar.
“Felcra sentiasa berusaha dan memastikan ladang-ladangnya diusahakan dengan sebaiknya supaya dapat memberikan pulangan yang selesa kepada peserta dalam masa yang sama berupaya membayar balik pinjaman kepada kerajaan ke atas kos membangunkan ladang-ladang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas membuat lawatan ke Tabika Kemas Kampung Olak Lempit di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Datuk Zulkarnain Md. Eusope.
Mengulas lanjut, Rina berkata, jumlah agihan itu berlaku penurunan 29 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan sebanyak RM63.4 juta.
“Penurunan ini disebabkan oleh kejatuhan harga minyak sawit mentah (CPO) sebanyak 20 peratus kepada RM2,455 metrik tan bagi tempoh Januari hingga April berbanding RM3,055 metrik tan bagi tempoh sama tahun lalu,” katanya.
Rina memberitahu, kejatuhan harga CPO ini telah menyebabkan harga jualan buah tandan segar turut mengalami kejatuhan harga sebanyak 25 peratus iaitu daripada RM613 metrik tan pada Januari sehingga April 2017 kepada RM456 metrik tan bagi tempoh yang sama tahun ini. – K! ONLINE











