PUTRAJAYA 7 Jun – Tindakan undang-undang perlu disegerakan bagi mengheret individu yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Low Taek Jho atau Jho Low ke muka pengadilan.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendapat, sudah cukup maklumat berhubung Jho Low dan semua pihak mengetahui bahawa individu berkenaan merupakan antara penjenayah yang menyebabkan skandal 1MDB menjadi salah satu skandal terbesar di dunia.
“Saya tidak menyatakan saya hendak mendahului peraturan dan undang-undang tetapi dalam kes-kes yang sudah jelas dan nyata, dengan pihak-pihak terbabit dinamakan, maka tindakan-tindakan tegas dari sudut undang-undang baik jenayah atau rasuah perlu diambil dalam seberapa segera.
“Ada rakyat kita masih tertanya kenapa tiada tindakan diambil terhadap mereka yang terlibat dalam kes-kes tersebut. Saya kata tunggulah sedikit, tapi ada pihak yang tidak mahu tunggu, mereka harap tindakan tegas boleh kita ambil dalam tempoh ‘semalam’,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.
Muhyiddin menjelaskan, skandal-skandal seperti 1MDB yang dilaporkan kepada polis serta agensi-agensi lain tidak boleh diketepikan tetapi disegerakan tindakannya.
“Kita perlu membantu pelbagai pihak yang ditubuhkan kerajaan seperti pasukan petugas yang antaranya diletakkan juga agensi di bawah kementerian,” katanya. – UTUSAN ONLINE











