SUDAH hampir sebulan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selesai, tapi dalam media sosial masih ‘berdentam-dentum’ bercakap pasal politik. Kalau di Barat, demam bahang politik biasanya surut selepas pilihan raya, tetapi di Malaysia saban hari terus berpolitik.
Berilah peluang kepada kerajaan baharu Pakatan Harapan ini untuk menggerakkan negara ini. Jangan asyik cari silap atau cuba ‘sailang’ kepemimpinan mereka sebab mandat yang diberikan rakyat berada dalam tempoh lima tahun ini.
Keyakinan rakyat dalam sebulan ini kelihatan begitu menebal agar pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan ini melunaskan janji-janji mereka. Jadi, beri peluang dan ruang kepada kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membuktikan kewibawaan Pakatan Harapan berkhidmat kepada rakyat.
Lawan atau pesaing mereka haruslah berlapang dada. Jangan prejudis kerana apabila rakyat berkehendakkan perubahan, mesti akan ada halangan menanti.
Mengapa apabila pemaju hartanah Tan Sri Ting Pek Khiing, yang mendiamkan diri sejak 16 tahun yang lalu tiba-tiba muncul untuk melaksanakan projek pembangunan berbilion ringgit di Langkawi, ada pihak yang curiga dan memandang lekeh kepada usahanya itu?
Mengapa pandang sinis komitmen Kerajaan Pusat untuk memberi peluang kepada Pek Khiing menjayakan Projek Bandaraya Baharu Langkawi? Bukankah menarik projek yang dijangka bernilai kira-kira RM30 bilion itu dibangunkan di atas 81 hektar tanah yang ditebus guna di barat pulau berkenaan?
Projek berkenaan akan melibatkan pembinaan kira-kira 30,000 unit kondominium mewah, pusat komersil, kemudahan dermaga untuk kapal penumpang dan kapal layar serta kemudahan lain.
Jadi, mengapa dipersoalkan projek yang akan merangsang pelaburan asing di Langkawi itu, malahan ia akan menjadi yang terbesar yang pernah dilaksanakan Pek Khiing sejak beliau memulakan aktiviti perniagaannya di pulau tersebut pada 1991.
Itu antara salah satu projek yang kini berada dalam radar kerajaan Pakatan Harapan. Itu belum termasuk usaha-usaha murni kerajaan yang lain untuk membaikpulih ekonomi negara. Antaranya kutipan untuk Tabung Harapan Malaysia (THM) yang setakat ini hampir atau telahpun melepasi RM20 juta dan pembatalan beberapa projek mega yang dianggap merencatkan ekonomi dan tidak mendatangkan pulangan berbaloi.
Hakikatnya, jika pemimpin mereka asyik berpolitik tanpa mempedulikan kepentingan dan kebajikan rakyat, pengurusan dan pentadbiran sesebuah negara atau negeri akan gagal.
Senario semasa dalam negara yang sedang berlaku selepas 9 Mei lalu jelas menunjukkan kita terlalu asyik berpolitik. Sedangkan dalam masa sama negara sedang bergelut dengan masalah yang tidak kurang penting iaitu agenda ekonomi dan sosial. Tiga serangkai ini sering berkait dalam semua keadaan dan ketika serta tidak boleh dipandang ringan atau sambil lewa menanganinya.
Dalam kita berpolitik dan melayani isu semasa, ada banyak perkara yang menyentuh kedudukan negara yang perlu diberikan perhatian. Satu aspek yang perlu diberikan fokus dan amat penting ialah kedudukan ekonomi negara, kedudukan nilai ringgit, harga komoditi dan institusi yang perlu diberikan suntikan.
Situasi ini memerlukan kesungguhan dari pelbagai jabatan dan agensi yang terlibat supaya isu politik tidak menjejaskan aspek ekonomi yang perlu diberi perhatian.
Secara relatifnya, kecelaruan politik turut membawa akibat kepada terbantutnya aliran ekonomi dan merencatkan proses transformasi sosial.
Justeru, Ahli-Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu berpegang pada asas perjuangan untuk membela kepentingan rakyat. Bukannya asyik berpolitik sehingga mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat kepada mereka.
Kepada anak muda, selepas PRU-14, elakkanlah diri daripada menjadi alat sesetengah pihak dengan berdemonstrasi sana sini atau dalam bahasa politiknya ‘balaci’ ahli politik kepada pihak berkepentingan.
Mungkin akan ada yang terlolong-lolong menuntut hak masing-masing tetapi dengan menggunakan saluran yang tidak betul, mengutuk cara kepimpinan orang lain sedangkan mereka sendiri tidak tahu memimpin. Hajat hati ingin menjadi pemimpin tetapi diri sendiri juga hanya terikut-ikut.
Dan seperti mana dalam isu pelantikan Peguam Negara sekarang, Tommy Thomas, kita amat menghargai bagaimana komitmen pemimpin tertinggi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohamad Sabu. Mereka sanggup menghadap Raja-raja Melayu menerangkan dan berbincang bagaimana untuk menyelesaikan permasalahan pelantikan Peguam Negara.
Kita yakin semua daripada kita termasuk pemimpin-pemimpin tertinggi pakatan akan tetap beristiqamah mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan institusi Raja-raja yang menjadi kebanggaan sejak merdeka.
Rakyat kini sudah cerdik untuk menilai. Maka, hormatilah pilihan dan kehendak rakyat. Berilah ruang dan peluang kepada kerajaan Pakatan Harapan untuk menunaikan janji mereka.
Jika dahulu kerajaan sebelum PRU-14 sering mengingatkan pembangkang waktu itu supaya jangan asyik berpolitik saban hari, kali ini pembangkang BN harus memberi contoh pula untuk tidak meneruskannya. Mana tahu selepas lima tahun lagi, BN kembali membentuk kerajaan, sekali gus ini akan diambil ingatan pula oleh pembangkang.
DATUK AHMAD FARIS ABDUL HALIM ialah penganalisis isu-isu semasa.











