ATLET mendaki dari seluruh dunia yang menyertai acara Piala Dunia yang berlangsung di Hachioji, Jepun baru-baru ini mendapat gambaran cabaran yang bakal menanti mereka pada Sukan Olimpik Tokyo 2020. Sukan mendaki dinding batu buat pertama kalinya akan dipertandingkan pada Sukan Olimpik yang berlangsung dalam tempoh dua tahun lagi setelah Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa meluluskan untuk mempertandingkan sukan itu.
Jepun yang akan menjadi tuan rumah bagi Sukan Olimpik Tokyo 2020 mempunyai beberapa atlet pendaki terbaik di dunia dalam pelbagai disiplin mendaki.
Kebanyakan atlet tersebut bersaing pada acara Piala Dunia termasuk juara dunia 2016 Tamoa Narasaki dan Akiyo Noguchi.
Format baharu bakal diguna pakai dalam sukan tersebut. Pemenang ditentukan oleh skor kumulatif tertinggi.
Bagi format baharu itu atlet akan mendaki laluan yang lebih bervariasi dan lebih sukar.
Dalam pada itu, Narasaki berharap promosi terhadap sukan itu akan menjadikannya sebagai salah satu acara penting yang akan berlangsung pada Sukan Olimpik nanti.
Dia berharap ada generasi baharu yang akan menyertai sukan tersebut setelah dipertandingkan pada Sukan Olimpik.
“Apabila sukan ini dipertandingkan pada Sukan Olimpik ia memberi saya lebih banyak motivasi untuk terus berusaha bersungguh-sungguh.
“Saya akan menikmati sukan ini di tempat sendiri dan ramai yang akan hadir untuk memberikan sokongan,” kata Narasaki.
Jepun merupakan antara negara yang menguasai acara sukan mendaki ini.
Gimnasium
Empat daripada 10 pendaki lelaki terbaik dunia adalah atlet Jepun begitu juga untuk acara wanita.
Sukan mendaki popular di Negara Matahari Terbit apabila lebih 500 gimnasium mendaki dibina di Jepun.
“Orang Jepun begitu mencintai sukan mendaki sebab itulah banyak kemudahan dibina untuk mereka aktif dalam sukan ini.
“Kami mampu menguasai sukan mendaki kerana sudah berlatih sejak sekian lama semata-mata mahu menguasai acara ini,” kata Noguchi.
Kebanyakan atlet mendaki di seluruh dunia menyambut baik Kejohanan Dunia yang akan berlangsung di Tokyo pada tahun 2019 seterusnya pada Sukan Olimpik.
Pendaki dari Kanada, Seab McColl dan atlet dari Amerika Syarikat, Siera Blair Coyle yang telah menyertai kejohanan sukan mendaki sejak bertahun-tahun bagaikan tidak percaya bahawa mereka berpeluang untuk bersaing dalam Sukan Olimpik.
Kepada kedua-dua atlet itu, dengan tersenarainya acara mendaki dalam Sukan Olimpik ia memberi satu ganjaran terhadap kerja keras mereka selama bertahun-tahun dalam sukan tersebut.
“Bersaing dalam Sukan Olimpik adalah sesuatu yang saya impikan sejak kecil. Oleh itu saya akan berusaha keras untuk melayakkan diri dalam Sukan Olimpik.
“Sejak berumur lima tahun saya mula menonton Sukan Olimpik di televisyen,” jelas McColl yang kini berusia 30 tahun. Sementara itu, bagi Blair Coyle yang telah bergiat aktif dalam sukan itu selama 16 tahun, ia merupakan kejutan apabila acara itu dipertandingkan pada Sukan Olimpik.
“Saya sentiasa memikirkan kemungkinan acara mendaki ini akan dipertandingkan dalam Sukan Olimpik.
Kejutan
“Apabila meningkat dewasa saya semakin sedar ia mungkin tidak akan berlaku. Namun apabila acara ini dipertandingkan ia memberi satu kejutan kepada kami,” katanya.
Acara mendaki adalah sesuatu yang menarik untuk ditonton oleh semua dan ia merupakan satu pertunjukan yang menakjubkan.
“Saya rasa orang ramai akan menikmati melihat kami beraksi dalam sukan ini,” jelas Blair Coyle.
Dalam pada itu, perwakilan teknikal bagi Persekutuan Mendaki Dunia, Graeme Alderson yang pernah terlibat dalam penganjuran Piala Dunia pertama di Leeds, Britain pada tahun 1989 berpendapat, ramai yang mula mengenali sukan ini apabila ia dipertandingkan pada Sukan Olimpik.
“Bagi membolehkan sukan ini mendapat tempat, ia harus ditonton oleh semua orang. Berapa ramaikah yang menonton Sukan Olimpik? Satu bilion? Dua bilion? Kami yakin lebih ramai yang berminat dalam sukan ini.
“Orang ramai akan mula memahami lebih banyak lagi, kerana ia adalah sukan yang agak kompleks untuk difahami pada peringkat awal,” katanya. – REUTERS











