Jenazah bonda Sultan Johor tiba di Istana Besar - Utusan Malaysia

Jenazah bonda Sultan Johor tiba di Istana Besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 6 Jun – Jenazah Almarhumah bonda Sultan Johor, Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah tiba di Istana Besar, di sini pada pukul 11.45 malam tadi.

Terdahulu, ketibaan pesawat yang membawa jenazah Almarhumah di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai kira-kira pukul 11 malam disambut Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan kerabat diraja yang lain.

Yang turut hadir, barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Dalam sidang akhbar yang diadakan pagi tadi, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, jenazah Almarhumah akan disemayamkan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah sebelum Zohor, siang nanti.

“Sultan Johor, Sultan Ibrahim memperkenankan agar jenazah Almarhumah dimakamkan bersebelahan makam Tunku Laksamana Johor, Almarhum Tunku Abdul Jalil.

“Jenazah Almarhumah akan diusung menaiki pedati khas dari Istana Besar sehingga ke Bukit Mahmoodiah yang ditarik oleh 40 anggota Askar Timbalan Setia Negeri (JMF),” katanya.

Almarhumah mangkat pada pukul 7.55 malam (waktu London) di Hospital King Edward VII, London, 1 Jun lalu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×