PKNP FC bangkit atasi TFC I di halaman sendiri - Utusan Malaysia

PKNP FC bangkit atasi TFC I di halaman sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) berjaya bangkit daripada ketinggalan di halaman sendiri sekali gus menang dengan jaringan 2-1 ke atas Terengganu FC I (TFC I) dalam saingan Liga Super di Stadium Perak di sini sebentar tadi. 

Kedua-dua pasukan bermula garang apabila saling melakukan asakan ke kubu lawan masing-masing bagi mendapatkan jaringan awal. 

TFC I mendapat peluang untuk mencipta jaringan apabila pemain tengahnya, Donghyun Do mengelecek bola masuk ke kawasan penalti pada minit ke-12 namun rembatannya sedikit tersasar daripada gawang tuan rumah. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Usaha berterusan anak buah Irfan Bakti itu melakukan serangan ke kubu pasukan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil apabila Kapten TFC I, Tchetche Kipre menyepak masuk bola ke gawang PKNP FC selepas mendapat hantaran leret daripada rakan sepasukan pada minit ke-29. 

Tersentak dengan jaringan tersebut, pemain kendalian Abu Bakar Fadzim memperkemaskan rentak serangan dan hampir mendapat jaringan apabila pemain pertahanan PKNP FC, Ritus Krjauklis menanduk bola lambung hasil sepakan penjuru namun bola tepat ke dakapan penjaga gol TFC I, Muhamad Syazwan Yusoff. 

Tamat separuh masa pertama, TFC I kekal mendahului pasukan tuan rumah 1-0. 

Bersambung babak kedua, kesilapan pemain pertahanan TFC I yang menghalang bola menggunakan tangan pada minit ke-51 membawa padah apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti buat PKNP FC. 

Kapten PKNP FC, Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi cemerlang menyempurnakan sepakan penalti tersebut sekali gus menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-52. 

Jaringan tersebut seakan menaikkan semangat PKNP FC dan Shahrel Fikri sekali lagi menghadiahkan gol buat pasukan tuan rumah apabila menyempurnakan jaringan selepas menerima hantaran lintang daripada Deevan Raj sepuluh minit kemudian. 

TFC I dilihat mula tertekan dalam usaha untuk mendapatkan gol penyamaan dan keputusan 2-1 kekal sehingga ke minit akhir perlawanan. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini