Dua nakhoda tidak boleh berada di dalam kapal yang sama - Utusan Malaysia

Dua nakhoda tidak boleh berada di dalam kapal yang sama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMELUT Menteri Besar yang berlarutan hampir sebulan akhirnya selesai selepas kesemua sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) negeri ini sebulat suara menyatakan sokongan terhadap Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar.

Wakil rakyat terbabit sepakat menjunjung titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang berkenan melantik Azlan sebagai Menteri Besar meskipun pada peringkat awalnya mereka menolak keras pelantikan tersebut.

Keputusan tersebut sememangnya dinantikan oleh seluruh rakyat di negeri ini yang cukup berharap agar kemelut tersebut segera diselesaikan dengan baik khususnya pada bulan Ramadan yang mulia ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kini Azlan sudah boleh mengatur langkah untuk melantik Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri seterusnya bekerja untuk rakyat yang telah memberi amanah dan tanggungjawab kepada mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sudah banyak masa terbuang dengan drama yang disajikan sebelum ini. Kini sudah tiba masanya untuk wakil rakyat ini mula bekerja dan UMNO negeri ini sudah pastinya perlu membuka lembaran baharu agar pertembungan sesama sendiri ini tidak berlaku lagi.

Tetapi perlu diingat, kalau UMNO negeri ini masih mengekalkan dua nakhoda di dalam kapal yang sama, tidak mustahil masalah yang berlarutan sejak sekian lama itu akan terus berlaku pada masa depan.

Sebelum ini, secara luaran memang nampak elok kononnya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan Menteri Besar bersatu tetapi apabila berlaku krisis ini, terkeluarlah sikap mereka yang tidak pernah sehaluan.

Akibatnya, rakyat khususnya penyokong UMNO yang menjadi mangsa menyaksikan bagaimana pemimpin bergaduh sesama sendiri.

Apa yang dikesalkan, situasi itu berlaku ketika UMNO berada dalam keadaan tenat.

Jalan terbaik, sebagaimana saranan Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu, baru-baru ini, iaitu Presiden UMNO perlu melantik Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dalam kalangan mereka yang menjadi Menteri Besar.

Kata bekas Menteri Besar itu, langkah itu penting supaya politik dan pentadbiran dapat bergerak seiring selepas ini.

“Jika perkara ini tidak dipandang serius, masalah yang melanda UMNO negeri ini tidak akan pernah selesai,” kata Md. Isa. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini