TANAH MERAH 5 Jun – Siapa sangka dalam arus kemodenan ini masih ada lagi keluarga yang terpaksa bergelap-gelita bertemankan lilin di malam hari.
Teratak usang yang didiami hampir 25 tahun di Kampung Lawang di sini tidak mempunyai sumber bekalan eletrik.
Rumah yang didiami tujuh orang penghuni itu tidak mempunyai jiran berdekatan sebaliknya hanya dikelilingi pokok-pokok yang tumbuh merendang.
Mustapa Mad Hasan, 58, tinggal bersama anak perempuan, menantu dan tiga orang cucunya hanya meraih pendapatan sekitar RM20 sehari.
“Saya ini buat kerja-kerja kampung, kadang itu menebas semak, bersihkan kebun dan ambil upah potong rumput.
“Rumah yang saya duduk sekarang ini juga buat sendiri. Apabila malam terpaksa bergelap kerana tiada bekalan eletrik dan hanya mengharapkan air sungai di depan rumah untuk menjalani rutin harian,” luahnya.
Dia ditemui ketika menerima kunjungan wakil Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi); Hotel Grand Riverview dan Ketua Pemuda PPBM, Asran Alias di rumahnya di sini kelmarin.
Menurut Mustapa, dia berasa gembira kerana menerima bantuan menjelang musim perayaan nanti.
“Saya bersyukur sangat kerana cucu-cucu saya dapat baju raya baharu. Selama ini, kami tidak pernah menerima apa-apa bantuan daripada kerajaan negeri mahupun daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen kawasan ini,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











