KUCHING 5 Jun – Sebanyak 47 aduan diterima daripada pengguna setakat semalam melibatkan antipencatutan atau cukai barangan dan perkhidmatan (GST) di negeri ini.
Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Sarawak, Datuk Stanley Tan, aduan tersebut melibatkan 21 aduan GST dan 26 mengenai harga yang diterima melalui aplikasi EZadu, laman web eaduan KPDNKK, Bilik Gerakan KPDNKK Kuching dan tiga perkara tular.
“Sebanyak 12 aduan telah selesai, lima disalurkan kepada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan 30 dalam siasatan disamping 29 amaran kepada peniaga.
“Kita juga berharap agar masyarakat di negeri ini dapat membantu sebagai mata dan telinga melaporkan kesalahan dibuat atau menegur peniaga jika mereka tidak mematuhi sifar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (CBP) berikutan kekangan jumlah pihak penguat kuasa tidak dapat memantau kesemua premis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Operasi Catut 4.0 Perubahan CBP kepada Sifar Peratus Bersepadu KPDNKK – JKDM Peringkat Negeri Sarawak di Pasar Raya Everrise, Vivacity Megamall, di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir, Timbalan Pengarahnya, Md. Nawawi Ab. Rahman; Penolong Pengarah Kastam Bahagian Penguat Kuasa GST, Spree Awang Morshidi dan Pengurus Cawangan Pasar Raya Everrise Vivacity Megamall, Jessie Hee.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, pihaknya hanya mempunyai 198 pegawai penguatkuasa dan 102 pegawai pemantau harga untuk memantau dan memastikan pematuhan CBT berkenaan di negeri yang luas ini.
“Kami menyeru orang ramai membuat aduan secara rasmi agar tindakan segera dapat diambil yang mana mereka boleh hubungi Bilik Gerakan KPDNKK Kuching dibuka bermula 8 pagi hingga 10 malam manakala lapan cawangan lain dibuka 8 pagi hingga enam petang.
“Masyarakat juga diharap tidak tular sesuatu benda palsu berkaitan harga atau GST kedai atau syarikat tertentu yang akan mengganggu pegawai peguat kuasa bagi menyiasat aduan yang benar dengan tenaga kerja terhad,” jelasnya.
Sementara itu, Jessie memberitahu, pihaknya mengambil masa lima jam setelah waktu tutup pasar raya itu pada 31 Mei lalu.
“Kami semua menukar label harga barangan dan memastikan sistem kaunter bayaran berjalan lancar dengan sifar peratus GST.
“Justeru itu, bermula 1 Jun, semua barangan dijual di sini adalah sifar peratus GST,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











