Agong perkenan pelantikan Tommy sebagai Peguam Negara baharu - Utusan Malaysia

Agong perkenan pelantikan Tommy sebagai Peguam Negara baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V telah memperkenankan pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara yang baharu.

Kuala Lumpur, 20 Mac, 2010 - Tommy ThomasGambar Zulkarnain Mohd
Tommy Thomas

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, atas nasihat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Seri Paduka telah menitahkan perkara itu mengikut Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menyeru semua rakyat Malaysia untuk menerima bahawa pelantikan Peguam Negara Malaysia tidak patut menimbulkan konflik ke atas kaum atau agama kerana semua rakyat Malaysia harus dilayan dengan adil tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam kenyataan bertarikh 4 Jun yang dihantar Istana Negara kepada Bernama awal pagi ini, Wan Ahmad Dahlan berkata, Seri Paduka bertitah pelantikan tersebut tetap memelihara hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera serta kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Setelah mengambil kira pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja tentang pelantikan (i) Peguam Negara Malaysia, (ii) hak Bumiputera serta (iii) peranan Majlis Raja-Raja di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku juga memperkenan penamatan perkhidmatan Tan Sri Mohamad Apandi Ali sebagai Peguam Negara oleh kerajaan Malaysia,” ujarnya.

Wan Ahmad Dahlan berkata Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan rasa dukacita dan bimbang terhadap laporan media yang tidak tepat dan bersifat negatif kebelakangan ini, yang dilihat boleh mengancam keamanan dan keharmonian Malaysia.

“Seri Paduka menitahkan bahawa baginda mempunyai kewajipan untuk menegakkan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan memelihara hak-hak orang Melayu dan Bumiputera serta melindungi agama Islam,” katanya.

Baru-baru ini, Mahathir telah mencadangkan peguam terkemuka Tommy Thomas sebagai calon Peguam Negara bagi menggantikan Mohamad Apandi, kepada Yang di-Pertuan Agong.

Terdahulu, Jabatan Penerangan dalam satu kenyataan memberitahu majlis khas perbincangan Raja-raja yang dijadualkan pada pukul 11.00 pagi hari ini telah dibatalkan.

Ia berikutan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong ke-XV, Sultan Muhammad V telah perkenan untuk menerima perlantikan Tommy Thomas, 66, sebagai Peguam Negara yang baharu. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini