HULU KLANG 4 Jun – Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin baru-baru ini berkenan mencemar duli menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada 52 anak yatim di Rumah Bakti Dato Harun di sini.
Sumbangan kepada pusat pertubuhan pendidikan anak-anak yatim Selangor sebanyak RM6,600 itu diperuntukkan oleh KDEB Waste Management melalui Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE).
Selain itu, sumbangan wang tunai bernilai RM100 turut diberikan kepada 32 penghuni lelaki dan 20 penghuni perempuan berusia antara tujuh hingga 16 tahun di institusi berkenaan sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.
Berita berkaitan:
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YIDE, Nur Mohd. Razali Abdullah berkata, pihaknya berterima kasih kepada KDEB Waste Management atas sumbangan tersebut.
“YIDE ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada KDEB Waste Management kerana menyediakan sumbangan yang cukup bermakna ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Menurut Nur Mohd. Razali, pada tahun ini, YIDE memperuntukkan sebanyak RM849,200 untuk disalur kepada anak yatim seluruh Selangor yang berdaftar dengan YIDE.
“Ini termasuk sumbangan sebanyak RM23,200 untuk dua rumah anak yatim di bawah seliaan YIDE iaitu Rumah Anak Yatim Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Tanjung Keling, Melaka dan Rumah Bakti Dato Harun, Hulu Klang,” katanya.











