‘DARI KACA KE PERMATA’ - Utusan Malaysia

‘DARI KACA KE PERMATA’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WAH! Kini ramai yang mula pandang Pas.

Suatu ketika sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), ada ragu-ragu kekuatan Pas. Boleh pergi ke ni?

Realitinya tak semua me­nyangka akan terjadi pertukaran kerajaan yang mengejutkan. Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang penuh dengan angka-angka dari ‘R&D’ nya tak sangka, demikian jugalah dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ikut perkiraan, paling tidak pun majoriti mudah Barisan Nasional (BN) dulu hanya susut sedikit. Tapi tidaklah sampai ke bawah 112, apatah lagi kurang 100 kerusi. Tapi begitu kehendak-Nya. Kena terimalah suara rakyat.

Ramai sebenarnya juga ‘tersentak’ dengan aura Pas kali ini.

Daripada sebuah parti yang langsung tidak diberi harapan sehingga ada tergamak membayangkan Pas hanya akan melukut di tepi gantang, keadaan sebaliknya berlaku. Itu juga kehendak-Nya.

Pada PRU-14, 9 Mei lalu me­nyaksikan kejayaan Pas yang ‘bukan kecil anak’. Terengganu dirampasnya daripada BN menerusi kemenangan 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu daripada 32 keseluruhan kerusi . Ini berbanding 14 kerusi pada PRU-13.

Pas turut mengekalkan pe­nguasaannya di Kelantan selepas memperoleh 28 kerusi berban­ding BN yang sebelum itu yakin menawan negeri itu, hanya memperoleh tujuh kerusi. Di Kedah pula, Pas turut menggigit, biarpun cuma memperoleh 15 kerusi sementara tiga kerusi di Perak.

Walaupun empat pemimpin ka­nan Pas kecundang di peringkat Pusat iaitu Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin di Arau; dua Naib Presiden, Datuk Iskandar Samad (Pandan Indah) dan Idris Ahmad (Bukit Gantang) serta Ketua Pe­nerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan (Indera Mahkota), Pas masih boleh berbangga dengan pencapaiannya.

Dan meskipun hasrat Pas mahu menjadi King Maker tidak kesampaian, tetapi ia tetap menjadi parti paling berpengaruh di Pantai Timur termasuklah memenangi 18 kerusi Parlimen.

Dengan Pakatan Harapan sendiri agak malap sumbunya di Pantai Timur, tiada siapa pun dapat menafikan bahawa Pas akan mengukuhkan lagi pengaruhnya pada masa akan datang.

Ini lebih-lebih lagi apabila umat Islam teringat kesungguhan Pas terutama Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memperjuangkan pembentangan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) di Parlimen tempoh hari.

Rekod Pas yang lampau memperlihatkan parti itu mengalahkan BN di beberapa kawasan dalam pilihan raya umum 1990 dan 1999 kerana perpecahan UMNO. Sementara kejayaan Pas di banyak kawasan pada 2008 dan 2013 adalah kerana antara lain undi orang bukan Islam.

Pencapaian Pas dalam PRU-14, sedikit sebanyak berpunca dari ‘dilema’ orang Melayu memilih antara UMNO atau Pakatan Harapan. Barangkali daripada dek bosan dengan tindakan kedua-dua parti saling ‘mengorek’ ke­salahan satu sama lain, lebih baik Pas jadi pilihan.

Sebab itu tidak pelik apabila satu-satunya Naib Presiden Pas yang menang, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah ‘tidak sayang mulut’ mengatakan parti itu tidak kisah kalah dalam PRU-14 ketika negara menanggung sejumlah besar beban hutang.

“Hutang banyak, nak bayar macam mana? Biarlah orang lain ambil dulu, selesaikan hutang Malaysia. Lima tahun lagi kita ambil Malaysia,” katanya dalam ucapan baru-baru ini, di mana rakaman tersebut tular di media sosial.

Dalam situasi politik tanah air hari ini, tidak kira ungkapan apa, luahan di luar norma kehidupanpun atau apa sahaja perkataannya, asalkan orang suka, itu tidak jadi hal untuk seseorang calon parti terbabit melekat dalam jiwa pengundi.

Hal ini jugalah yang menimbulkan ‘dilema’ atau ‘kecelaruan’ dalam kalangan calon UMNO pada PRU-14 lalu, yang mana ‘aku dah buat kerja, berkhidmat siang malam untuk rakyat, tetap masih ditolak, apa tak kena dengan aku ni’.

Soalnya, Pakatan Harapan terutama di pantai barat dari utara hingga selatan menjangkau ke Parti Warisan di Sabah pun, letak sebahagian besar ‘batu’ pun boleh menang kali ini.

Sepanjang tempoh 1951-2018, Pas dipimpin oleh tujuh orang Yang Dipertua Agung/Presiden iaitu Ahmad Fuad Hassan (1951-1953), Dr. Abbas Alias (1953-1956), Profesor Dr. Burhanuddin al-Helmy (1956-1969), Datuk Mohd. Asri Muda (1969-1982), Yusof Rawa (1982-1988), Datuk Fadzil Noor (1988-2002) dan kini, Abdul Hadi sejak 2002.

Pas telah mengalami empat jenis kepemimpinan dari kepe­mimpinan ulama tradisi (1951-1956), kepemimpinan nasionalis kiri (1956-1969), kepemimpinan nasionalis kanan (1969-1982) hinggalah ke kepemimpinan ulama haraki (1982-sekarang).

Pas juga melalui empat tahap perkembangan iaitu tahap kemun­culan (1951-1959), tahap kebangkitan (1959-1973), tahap kemuncak (1973-1977), tahap kejatuhan (1977-1990) dan tahap kebangkitan semula dari 1990 hingga kemuncaknya sekarang.

Dari sudut pembinaan ideologi perjuangan Pas, dikatakan berlaku tiga fasa iaitu fasa penubuhan dan pembentukan ideologi (1951-1958), fasa pencernaan ideo­logi (1958-1982) dan fasa pengukuhan ideologi (1982-1995).

Kini semua mata bertumpu kepada Pas. UMNO merasakan ini saat terbaik untuk mewujudkan gabungan UMNO-Pas berdepan Pakatan Harapan.

Tapi Pas, menerusi Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mempelawa pula ahli UMNO beramai-ramai masuk Pas.

Pakatan Harapan pula bersikap tunggu dan lihat. Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pun dah buat tawaran kepada Pas.

Tabiklah dengan kewibawaan Pas kali ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini