Peguam Negara dilantik daripada Hakim Mahkamah Persekutuan - Utusan Malaysia

Peguam Negara dilantik daripada Hakim Mahkamah Persekutuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 4 Jun – Pas mencadangkan supaya Peguam Negara dilantik dalam kalangan Hakim Mahkamah Persekutuan yang sedang berkhidmat atau mereka yang telah bersara daripada jawatan tersebut.

TAKIYUDDIN HASSAN
TAKIYUDDIN HASSAN

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, parti itu akur dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 145(1) yang memperuntukkan bahawa Yang DiPertuan Agung hendaklah melantik seorang Peguam Negara atas nasihat Perdana Menteri dalam kalangan seseorang yang berkelayakan untuk dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.

Beliau berkata, berdasarkan peruntukan di atas, sepintas lalu Pas berpandangan orang yang tidak boleh dipertikaikan kelayakannya untuk dilantik sebagai Peguam Negara adalah para Hakim Mahkamah Persekutuan yang sedang berkhidmat sekarang ini mahu pun mereka yang telah bersara dari jawatan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini memandangkan selain daripada mereka dalam kategori di atas, tiada siapa pun yang boleh dianggap mempunyai segala ciri-ciri yang perlu untuk dilantik sebagai seorang Hakim Mahkamah Persekutuan, sama ada dari sudut pengetahuan undang-undang, pengalaman dalam pelbagai bidang perundangan dan menunjukkan sifat bijaksana serta berintegriti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, salah satu peranan penting Peguam Negara adalah memastikan tindakan penyeragaman dan pemurnian perundangan Syariah dapat dilaksanakan secara berkesan dan berdiplomasi tinggi kerana ia turut melibatkan prerogatif Yang DiPertuan Agung serta Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri.

“Oleh itu Peguam Negara juga mestilah seorang yang memahami dengan tinggi prinsip perundangan Islam selain daripada perundangan sivil.

“Pas berpandangan sesuai dengan perkembangan kesedaran beragama yang sihat dalam kalangan rakyat Malaysia dan juga di peringkat global, ditambah dengan prinsip Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara kita, amatlah wajar Peguam Negara adalah seorang yang ‘peduli Agama dan peduli Raja’,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini