KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin isu pelantikan Peguam Negara dapat diselesaikan dengan kebijaksanaan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan pihak istana.
Beliau berkata, kemungkinan terdapat sedikit masalah berkenaan perkara terbabit tetapi kepimpinan baharu Pakatan Harapan (PH) mahu melihat segala bentuk kerjasama antara semua pihak yang terlibat dapat diselesaikan dengan baik.
“Saya dimaklumkan ada mesyuarat Majlis Raja-Raja dan mungkin itu boleh bantu dari segi selesaikan isu berkenaan bagi pihak jemaah menteri kami memberi sokongan yang padu kepada Perdana Menteri,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan rasmi di Bukit Aman di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu pelantikan Peguam Negara yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang diarahkan bercuti.
Beberapa portal berita melaporkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V menolak calon yang dicadangkan kerajaan pusat itu. – Bernama











