KOTA BHARU 4 Jun – Tersadung akar pokok dalam hutan sehingga jatuh kerana mencari daun palas adalah pengalaman biasa seorang pembuat ketupat pulut, Siti Mariam Mamat, 65, dari Kampung Kubang Palas, Mukim Banggu di sini.
Siti Mariam atau lebih dikenali dengan nama Mok Su Esah sudah berpengalaman lebih 20 tahun membuat ketupat pulut untuk tempahan terutama semasa musim perayaan.
Bekas guru Kelas al Quran dan Fardhu Ain (Kafa) ini berkata, dia menerima tempahan sehingga 4,000 biji ketupat untuk sambutan Aidilfitri tahun ini dan sudah menutup tempahan sejak minggu pertama Ramadan.
“Segala-galanya saya buat seorang diri dari memesin kelapa sehingga membungkus ketupat sebab itu saya tidak berani nak ambil tempahan lebih banyak.
“Daun palas ada yang saya cari sendiri dalam hutan di kampung ini dan ada yang budak-budak datang jual dengan harga RM20 sehingga RM25 bagi 100 helai.
“Tidak ada orang muda termasuk anak saya yang pandai membungkus ketupat dengan cantik jadi saya lebih selesa buat semuanya sendiri, rugi kalau bungkusan ketupat tidak menjadi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Siti Mariam adalah antara tiga pembuat ketupat pulut di Kampung Kubang Palas yang masih mempertahankan pekerjaan itu sehingga ke hari ini.
Warga emas yang turut membuka kedai runcit kecil-kecilan di tepi rumahnya berkata, antara persiapan awal yang dia perlu lakukan adalah menyiapkan sarang ketupat menggunakan daun palas yang sudah kering.
Siti Mariam berkata, ketupat buatannya pernah dibawa pelanggan sehingga ke negara Kemboja dan Arab Saudi yang memberitahunya ia tidak rosak dan masih enak dimakan walaupun tidak disimpan dalam peti sejuk selama beberapa hari.
“Paling penting kita tidak boleh kedekut guna bahan buat ketupat, saya gunakan santan daripada dua biji kelapa untuk setiap sekilogram beras pulut bagi memastikan ia cukup lemak,” katanya.
Siti Mariam menjual setiap 100 biji ketupat pulut kosong dan ketupat lemak dengan harga RM65; ketupat kacang (RM70) dan ketupat sambal daging (RM100). – UTUSAN ONLINE











