PRU-15: Bersatu tiada tempat di Pahang? - Utusan Malaysia

PRU-15: Bersatu tiada tempat di Pahang?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempertaruhkan 15 calon untuk bertanding di enam kerusi Parlimen dan sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang.

Enam kerusi Parlimen itu ialah Lipis, Jerantut, Paya Besar, Pekan, Maran dan Kuala Krau.

Bagi DUN pula, Bersatu yang sewaktu itu bersama gabungan Pakatan Harapan (PH) bertanding di Padang Tengku, Tahan, Peramu Jaya, Bebar, Chenor, Jenderak, Kemayan, Bukit Ibam dan Muadzam Shah.

Malangnya, tiada satu kerusi pun yang dimenangi calon Bersatu sama ada di Parlimen ataupun peringkat DUN.

Tentunya sukar bagi Bersatu menembusi semua kerusi yang ditandingi itu kerana semuanya boleh dikatakan sebagai kubu kuat UMNO.

Untuk enam kerusi Parlimen itu, semuanya dimenangi calon Barisan Nasional (BN) manakala bagi sembilan kerusi DUN pula, tujuh dimenangi calon BN dan dua Pas iaitu di Tahan dan Chenor.

Persoalannya, setelah tidak lagi bersama PH dan kini bersama gabungan Perikatan Nasional (PN) yang melibatkan Bersatu, Pas dan di sokong BN, kerusi manakah yang akan ditandingi oleh Bersatu di negeri ini pada PRU-15 akan datang?

Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber memaklumkan, adalah sukar untuk Bersatu bertanding di Pahang jika PN kekal dalam gabungan itu bagi menghadapi PRU-15.

“Sehingga kini pun masih tiada kata sepakat dicapai berhubung kerusi yang akan ditandingi oleh Bersatu di Pahang. Bagi saya sukar.

“Saya difahamkan, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga tidak akan campur tangan soal calon Bersatu di Pahang pada PRU-15. Pahang untuk BN dan Pas,” kata sumber itu.

Bagaimanapun Bersatu masih boleh meletakkan calonnya untuk bertanding di mana-mana sahaja kerusi pada PRU-15 jika gabungan PN tidak kekal.

Cuma persoalannya, mampukah Bersatu untuk menembusi atau ‘memikat’ hati pengundi kerusi Parlimen dan DUN di Pahang yang sebahagian besarnya dikuasai BN dan selebihnya oleh Pas?

Atau, adakah Bersatu mahu mencuba nasib bertanding di kerusi Parlimen dan DUN yang dimenangi DAP dan PKR pada PRU-15 nanti?

Hakikatnya, bukan mudah untuk Bersatu bertapak di Pahang melainkan berlaku tsunami politik dan rakyat di negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×