PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), New York – Amerika Syarikat (AS) akan menggunakan kuasa veto untuk membatalkan draf resolusi PBB supaya rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat dilindungi, kata Duta AS ke PBB, Nikki Haley.
Usul tersebut dijadual dibahaskan lewat semalam. Haley menyifatkan draf yang dikemukakan oleh Kuwait bagi mewakili negara-negara Arab itu sebagai pendekatan berat sebelah dan menjejaskan usaha keamanan antara Israel dan Palestin.
Kuwait membentangkan draf tersebut dua minggu lalu dengan menggesa misi antarabangsa dihantar bagi melindungi penduduk Palestin ketika tunjuk perasaan bertukar ganas di kawasan sempadan Gaza-Israel.
Sekurang-kurangnya 122 penduduk Palestin terbunuh akibat ditembak oleh tentera Israel dalam beberapa pertempuran sejak penghujung Mac lalu. Namun, tiada askar Israel yang maut.
“Resolusi itu menggesa Israel menghentikan tindakan ganasnya tetapi tidak menyebut mengenai tindakan agresif Hamas terhadap pasukan keselamatan Israel dan orang awam,” kata Haley dalam satu kenyataan.
Beliau turut memberi amaran kepada Kesatuan Eropah dan negara lain yang membuat keputusan untuk menyokong draf Kuwait itu. – AFP











