KUALA LUMPUR 1 Jun – Datuk Seri Ahmad Ismail dijangka tidak mempertahankan semula jawatan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang disandangnya sejak 2002 apabila mesyuarat agung pemilihan pucuk pimpinan baharu di adakan ibu kota pada 24 Jun ini.
![]() |
|
MOHD. SUMALI REDUAN
|
Walau bagaimanapun, beliau dikatakan bakal menamakan Datuk Mohd. Sumali Reduan yang juga Presiden Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Persewip) sebagai calon Presiden baharu PSM bagi penggal 2018-2021.
Tindakan Ahmad itu pasti mengejutkan banyak ahli gabungan yang bakal mengundi dalam pemilihan itu kerana di dalam barisan kepemimpinan semasa PSM Sumali hanyalah Ketua Seranta dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Atlet PSM manakala Timbalan Presiden sekarang disandang oleh Datuk Akramuddin Abdul Aziz.
Sumali mungkin dicalonkan atau dianggap lebih berpengaruh kerana mempunyai hubungan rapat malah pernah bertugas sebagai Pegawai Khas kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Penasihat PSM.
Namun Sumali, yang juga Naib Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) sejak 2016, dijangka dicabar sengit oleh Presiden Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS), Datuk Markiman Kobiran yang turut berminat untuk menduduki kerusi No. 1 PSM itu.
PSM sering dikritik oleh peminat sepak takraw berikutan kegagalan mereka membangunkan sukan itu apatah lagi skuad negara kini bukan sahaja dilihat semakin ketinggalan di belakang Thailand tetapi juga Indonesia dan Korea Selatan.
Timbalan Presiden Masyarakat Bola Rotan (MBR), Saiful Azam Mohammed berkata, penggiat dan peminat sukan bertegas tidak mahu lagi Ahmad sebagai Presiden mahupun proksinya memimpin PSM.
“Kami khuatir gaya kepemimpinan PSM masih di takuk lama jika Presiden Persewip itu sebagai bakal presiden. Kami mahu barisan pegawai yang betul-betul baharu dan segar dalam pemilihan PSM nanti.
“Untuk itu, kami akan melancarkan perhimpunan ‘Jom Bangkit Sepak Takraw Malaysia: Tsunami Rakyat’ bagi mendesak pemilihan PSM kali ini dijalankan secara lebih telus dan melalui proses pengundian sulit, bukan lagi dengan mengangkat tangan seperti sebelum ini.
“Perhimpunan di Arena Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur pada pukul 3 petang 18 Jun ini turut akan dihadiri ramai bintang silam sepak takraw negara antaranya Rommi Suhendra Norsal, Farid Hamdan, Suhaimi Yusof, Jamry Ederis dan Shaari Hashim.
“Datuk Markiman juga akan hadir untuk diperkenalkan sebagai calon Presiden PSM,” kata Saiful yang menyertai MBR, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang giat memperjuangkan dan menjalankan banyak program sepak takraw sejak enam tahun lalu.
Ahmad menerajui PSM selama empat penggal berturut-turut (16 tahun) selepas memenangi persaingan satu lawan satu dengan menewaskan Datuk Jamal Nasir Rasdi dari Perak walaupun tidak menghadiri pemilihan di Petaling Jaya, Selangor itu pada 22 Disember 2002.
Bekas Timbalan Presiden Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa I (Istaf) itu hanya pernah ditentang sekali sepanjang tempoh itu, oleh Mohd. Shapian Ali dari Terengganu namun mengekalkan kedudukannya dengan kemenangan 50 berbalas 20 undi dalam pemilihan penggal 2014-2017.
Markiman pula dalam pemilihan di Johor Bahru, Johor pada 13 September 2014, tewas 52 berbalas 19 undi kepada Akramuddin bagi persaingan kerusi Timbalan Presiden.
PSM adalah antara persatuan sukan kebangsaan tertua di Malaysia apabila ditubuhkan pada 1960.
Malaysia telah lama kempunan pingat emas Sukan Asia sejak kali terakhir memenanginya di Hiroshima pada 1994. Dalam temasya di Incheon empat tahun lalu menyaksikan skuad negara hanya mendapat dua gangsa – pencapaian terburuk sejak sepak takraw dipertandingkan pada 1990.












