SEPANG – Perdana Menteri India, Narendra Modi berlepas ke Singapura petang ini selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed di Putrajaya dalam persinggahan singkat beliau ke Malaysia hari ini.
Pesawat khas yang membawa Modi, Penerbangan AI OO1, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabanga Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada kira-kira pukul 2 petang.
Sebelum berlepas, Modi menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan suami, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Bunga Raya KLIA.
Selepas mengadakan pertemuan selama kira-kira 30 minit, Modi, Wan Azizah dan Anwar bergambar kenangan dengan staf Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia.
Wan Azizah dan Anwar mengiringi Modi ke upacara perbarisan kawalan kehormatan oleh 26 anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja diketuai Kapten Abdul Munir Mohani @ Che Umar sebelum pemimpin India itu menaiki pesawat untuk berlepas ke Singapura . – Bernama











