PUTRAJAYA 10 Julai – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan gaji pegawai di syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) terlalu tinggi apabila ada antara mereka yang berpendapatan RM7 juta setahun.
Beliau yang mendedahkan perkara itu berkata, semasa era pentadbirannya sebagai Perdana Menteri, beliau menerima RM20,000 sebulan dan hasil pendapatannya itu dapat disimpan selama 29 tahun sehingga hari ini.
Beliau berpendapat, gaji yang diperuntukkan untuk pemimpin-pemimpin di negara ini adalah mencukupi berikutan perbelanjaan bagi utiliti, rumah dan pengangkutan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
“Sehubungan itu, gaji pegawai GLC akan diturunkan. Untuk saya RM20,000 sudah cukup, sebab kerajaan dah bayar elektrik, air, sediakan pengangkutan, sediakan elaun, jadi saya tidak banyak gunakan gaji dan saya dapat menyimpan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan perutusan khas pada Taklimat Governans, Integriti dan Antirasuah di Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.
Mengenai dakwaan gaji ahli Parlimen terlalu rendah berban-ding sektor swasta, Dr. Mahathir mengakui ia rendah namun menganggap ia tidaklah terlalu rendah.
“Bagaimanapun, gaji ahli Parlimen tidak terlalu rendah seperti yang didakwa kerana ahli Parlimen diberi peruntukan untuk pengurusan dan pentadbiran pejabat,” katanya.
Perdana Menteri semalam dalam temu bual dengan portal berita perniagaan Hong Kong yang membuat laporan untuk Asia Tenggara, Investvine berkata, zaman eksekutif GLC yang dibayar gaji besar sudah berakhir.
Dalam perkembangan lain, Dr. Mahathir berkata, kerajaan belum menyerahkan notis atau makluman penuh kepada Singapura berhubung keputusannya bagi projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR KL-Singapura).
Bagaimanapun menurutnya, kerajaan Singapura sedia maklum dengan apa yang Malaysia mahu lakukan.
“Merujuk kepada kerajaan Singapura, kita masih belum menyerahkan sebarang notis penuh (kepada mereka) tetapi mereka sedia maklum apa yang kita mahu lakukan,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan semalam bahawa Singapura masih menunggu jawapan balas rasmi daripada Malaysia berhubung pembatalan projek mega berkenaan.











