DUBAI 10 Julai – Lebih 800 kanak-kanak berusia seawal 11 tahun direkrut untuk terlibat dalam perang di Yemen tahun lalu, menurut laporan dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini.
Laporan terbaharu itu mengesahkan seramai 842 kanak-kanak lelaki telah direkrut oleh pelbagai pihak di Yemen, di mana peperangan di negara itu menyebabkan beribu orang mati dan mengakibatkan berlaku masalah kebuluran.
Selain itu, 76 daripada jumlah berkenaan digunakan dalam pertempuran aktif.
Selebihnya direkrut untuk mengawal pos pemeriksaan dan bangunan kerajaan, rondaan, membawa air serta barangan keperluan ke pangkalan tentera.
PBB juga mengesahkan seramai 1,316 kanak-kanak terbunuh tahun lalu, 51 peratus daripadanya maut akibat bedilan udara. – AFP











