KUALA LUMPUR 10 Julai – Pendapatan yang semakin berkurangan termasuk daripada jemputan ceramah menyebabkan Pusat Pendidikan Al Barakah di Manjoi, Ipoh kekurangan dana meneruskan operasi dan terpaksa menjual unit tahfiznya.
![]() |
|
KAZM ELIAS
|
Pengasas dan pengendali pusat berkenaan, Ustaz Kazim Alias berkata, pendapatan daripada ceramah dan jualan bahan-bahan bacaan serta barangan lain selama ini banyak digunakan menampung kos operasi pusat tersebut.
“Sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), pendapatan membiayai pusat ini semakin berkurang kerana kekurangan jemputan ceramah malah, banyak juga pihak yang menjemput telah membatalkannya seolah-olah seperti ada halangan kepada mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Online.
Menurut Kazim, pusat yang terdiri daripada tiga unit pendidikan iaitu tahfiz, tadika dan pengajian dewasa itu memerlukan RM150,000 sebulan bagi menampung kos operasi.
“Saya sayangkan pusat ini, tetapi masa hadapan dan pendidikan agama penuntut di sini lebih penting. Itu sebab saya terpaksa menjual unit tahfiz itu,” katanya.

Dalam masa yang sama, Kazim turut mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu menjalankan kerjasama dengan pusat berkenaan bagi membolehkan operasi diteruskan.
Mereka yang berminat boleh menghubungi pengurus pusat berkenaan, Jasmin Mastan di talian 013-5817879. – UTUSAN ONLINE












