BANGKOK – Petugas-petugas penyelamat di Thailand semalam membawa empat budak lelaki keluar dari sebuah gua dibanjiri air di mana 12 anggota sebuah pasukan bola sepak remaja dan jurulatih mereka terperangkap selama lebih dua minggu, menjadikan bilangan keseluruhan mangsa yang diselamatkan meningkat kepada lapan orang.
Seorang saksi agensi berita Reuters berhampiran Gua Tham Luang di wilayah Chiang Rai, utara Thailand melihat pekerja-pekerja perubatan membawa keluar empat orang dari gua itu menuju ke beberapa buah ambulans yang menunggu di lokasi kejadian.
Operasi menyelamat itu dilancarkan kelmarin, manakala empat kanak-kanak dibawa keluar pada hari berkenaan.
“Setakat ini, seramai lapan budak lelaki itu telah meninggalkan Gua Tham Luang,” kata seorang pegawai yang terlibat dalam operasi menyelamat kepada Reuters.
Terdahulu, agensi berita Bernama memetik media Thailand melaporkan bahawa kanak-kanak pertama daripada empat mangsa berkenaan muncul dengan selamat di pintu Gua Tham Luang pada pukul 4.45 petang (waktu tempatan) dan dibawa menaiki helikopter ke Hospital Prachanukroh di Chiang Rai untuk mendapat rawatan segera.
Tiga kanak-kanak lain diselamatkan dalam selang masa cepat dan dibawa keluar dari gua itu oleh anggota penyelamat bermula pukul 6.20 petang, demikian menurut media Thailand.
Mereka menerima rawatan perubatan daripada kakitangan perubatan tentera yang ditempatkan berhampiran Gua Tham Luang sebelum diterbangkan ke hospital sama.
Perkembangan itu bermakna empat lagi anggota pasukan bola sepak remaja Mu Pa (Babi Hutan) itu dan jurulatih mereka masih terperangkap.
Kesemua 12 budak lelaki itu yang berumur antara 11 hingga 16 tahun dan jurulatih mereka, terperangkap sejauh 4 kilometer di dalam gua berkenaan pada kedalaman hingga 1 kilometer dari permukaan tanah selama lebih 14 hari sebelum operasi menyelamat dilakukan.
Terdahulu, penyelam-penyelam menyelam di dalam gua ditenggelami air banjir itu untuk hari kedua berturut-turut dalam usaha menyelamat penuh bahaya, manakala ketua operasi menyelamat berkenaan, Narongsak Osottanakorn menjanjikan ‘berita baik’ susulan kejayaan kelmarin.
“Semua peralatan siap sedia,” kata Narongsak Osottanakorn kepada wartawan menjelang tengah hari semalam selepas mengumumkan fasa kedua operasi menyelamat sudah bermula.
“Saya harap kita semua akan menerima berita baik dalam masa beberapa jam lagi,” katanya. – Bernama/ Reuters/AFP











