KUALA LUMPUR 29 Jun – Bursa Malaysia mengakhiri minggu ini dengan ditutup tinggi berikutan aktiviti window dressing (menghias) akaun pertengahan tahun yang berterusan diterajui Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dan Maybank, dalam keadaan sentimen negatif perang perdagangan yang semakin mereda apabila saham-saham di China melantun semula.
Pada pukul 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 25.82 mata atau 1.55 peratus lebih tinggi kepada 1,691.50 mata daripada paras penutup 1,665.68 mata pada Khamis.
Pada pukul 6 petang, ringgit pula berada pada 4.0380/0410 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada 4.0400/0450 semalam.
Jumlah dagangan naik kepada 2.22 bilion saham bernilai RM2.97 bilion daripada 1.55 bilion saham bernilai RM1.65 bilion pada Khamis.
Ketua Eksekutif dan Ketua Pegawai Pelaburan Hermana Capital Bhd., Datuk Dr. Nazri Khan Adam Khan berkata, sentimen perang perdagangan yang telah mereda itu boleh membantu menyediakan prospek pertumbuhan global yang optimistik.
“Ia merupakan petunjuk baik yang FBM KLCI pulih lebih 25 mata, setelah turun 10.5 peratus sejak Pilihan Raya Umum Ke-14.
“Kami berharap sentimen positif ini berterusan di samping menghentikan penjualan dana asing sejak 10 hari dagangan lepas,” katanya.
Bagi saham wajaran tinggi di Bursa, TNB, yang menyumbang 9.92 mata kepada Indeks Komposit, dan juga kaunter untung utama, meningkat 98 sen kepada RM14.64, manakala Maybank, yang menyumbang 10.35 mata kepada Indeks Komposit, naik 16 sen kepada RM9.00.
Public Bank meningkat 36 sen kepada RM 23.36, Petronas Chemicals naik satu sen kepada RM8.41 tetapi CIMB susut setengah sen kepada RM5.45.











