PUTRAJAYA 29 Jun – Kerajaan Pakatan Harapan akan menjual barang kemas dan barangan mewah termasuk rantai berlian, tiara dan beg tangan berjenama yang disita dalam siasatan yang didakwa diselewengkan dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Menurut Guan Eng, nilai rampasan tersebut diibarat ‘setitis air di lautan’ berbanding jumlah RM50 bilion atau AS$12.4 bilion yang diambil daripada dana pelaburan negara 1MDB termasuk kecurian dan pinjaman untuk menutup skandal rasuah melibatkan badan tersebut.
“Kita akan cuba untuk menukarkanya (barangan yang disita) kepada tunai, tetapi harus diingat jumlah tersebut masih terlalu kecil berbanding apa yang dirompak dari negara ini.
“Bayangkan jika jumlah itu ditemui atau didedahkan di Amerika Syarikat (AS), ini sudah cukup mengejutkan walaupun untuk sebuah negara kaya seperti AS. Bagi negara kecil seperti Malaysia, ini benar-benar sesuatu yang luar biasa,” katanya ketika di temuramah oleh agensi berita, Associated Press di sini hari ini
Polis berkata, 12,000 barang kemas, 567 beg tangan, 423 jam tangan dan 234 cermin mata hitam telah dirampas bulan lalu daripada hartanah yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri itu selepas kekalahan mengejut Barisan Nasional (BN) pimpinan beliau dalam pilihan raya Mei lalu,
Polis menganggarkan rampasan bernilai hampir RM1.1 bilion itu merupakan yang terbesar dalam sejarah negara. – AGENSI











