KOTA BHARU 29 Jun – Pemilihan pucuk kepemimpinan UMNO esok menyaksikan nama besar di lima bahagian di sini diisytiharkan menang tanpa bertanding.
Mereka ialah Ketua UMNO Bahagian Gua Musang merangkap calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah; Tan Sri Annuar Musa (Ketereh) merangkap calon Timbalan Presiden; Datuk Seri Mustapa Mohamed (Jeli) merangkap calon Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Ahmad Jazlan Yakub (Machang), dan Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh (Kota Bharu).
Daripada 14 kawasan Parlimen yang terdapat di negeri ini, sembilan calon mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian, manakala, lima penyandang jawatan itu tidak bertanding.
Mereka ialah Datuk Dr. Awang Adek Hussin (Bachok); Datuk Ramzi Abdul Rahman (Kuala Krai); Datuk Abdullah Mat Yassin (Rantau Panjang); Datuk Hanafi Mamat (Pasir Mas) dan Datuk Seri Muhammad Abdul Ghani (Kubang Kerian).
Enam kawasan menyaksikan persaingan sengit dan melibatkan sehingga pertandingan lima penjuru di Rantau Panjang dan empat penjuru di Tumpat.
Kawasan lain yang melibatkan tiga penjuru atau lebih daripada seorang calon yang menawarkan diri bertanding seperti di Kubang Kerian, Bachok, Tanah Merah, Pasir Mas dan Pengkalan Chepa.
Sembilan penyandang dan muka lama Ketua UMNO Bahagian turut mempertahankan jawatan berkenaan seperti Datuk Zaluzi Sulaiman (Pengkalan Chepa) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).
Fokus utama pastinya tertumpu pada ‘kerusi panas’ iaitu siapakah yang bakal menyandang jawatan Presiden UMNO?. – UTUSAN ONLINE











