KUALA LUMPUR 29 Jun – UMNO memerlukan seorang Presiden ‘zaman perang’ untuk bangkit daripada kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
Perkara itu disuarakan oleh calon Presiden UMNO, Khairy Jamaluddin yang percaya parti itu memerlukan seorang pemimpin bertenaga, mampu turun ke bawah mendampingi ahli akar umbi dan mendapatkan idea mereka untuk perubahan.
Khairy berkata, UMNO juga memerlukan seorang Presiden yang tangkas bertindak, dinamik serta berani berdepan dengan pemimpin kerajaan sama ada di dalam mahu pun di luar Parlimen.
“Dan yang utama sekali, Presiden zaman perang tidak mampu hanya gah dalam UMNO tetapi mesti menjadi juara rakyat dan dekat di hati rakyat,” kata beliau.
Khairy berkata demikian menerusi rakaman video yang dimuat naik di laman Facebook beliau, hari ini.
Mesej itu disampaikan Khairy ketika lebih 146,000 perwakilan bakal memilih barisan kepemimpinan UMNO termasuk Presiden baharu parti itu esok.
Selain Khairy, jawatan Presiden turut ditandingi empat calon lain, antaranya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Tengku Razaleigh Hamzah. – UTUSAN ONLINE











