TELUK INTAN – Sepasang suami isteri warga emas maut selepas motosikal yang ditunggang mereka dilanggar kenderaan lain di Kilometer 47 Jalan Teluk Intan-Sitiawan di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pada pukul 9.40 pagi itu, suami warganegara Indonesia dan isterinya penduduk tempatan masing-masing berusia 55 dan 56 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu kenderaan pelbagai guna jenis Perodua Alza berusia 19 tahun yang sedang dalam perjalanan dari Sitiawan ke Teluk Intan.
“Tiba di tempat kejadian, kenderaan tersebut terbabas dan memasuki laluan bertentangan lalu melanggar motosikal yang ditunggang kedua-dua mangsa sebelum kenderaan itu terbabas masuk ke dalam parit di tepi jalan.
“Akibat pelanggaran tersebut, suami isteri tersebut meninggal dunia di tempat kejadian manakala kenderaan pemandu Perodua Alza hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.
Tambah Mohd. Marzukhi, kedua-dua mayat mangsa dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk proses bedah siasat manakala pemandu kenderaan turut dirawat di hospital sama.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – K! ONLINE











