PUTRAJAYA – Pasukan Petugas Khas (Task Force) 1MDB mengesahkan telah membekukan sejumlah akaun milik individu dan beberapa organisasi termasuk UMNO serta parti-parti politik lain yang dipercayai terlibat dengan penyelewengan dana 1MDB.
Menurut satu kenyataan bersama yang dikeluarkan, turut dibekukan ialah akaun milik persatuan dan syarikat yang juga terlibat dalam siasatan kes tersebut.
“Pasukan Petugas Khas 1MDB memberi jaminan bahawa siasatan dijalankan secara adil dan profesional serta mengikut undang-undang yang ditetapkan,” katanya.
Sehubungan itu, semua pihak diminta memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk melaksanakan proses siasatan tersebut serta tidak membuat sebarang spekulasi dan mensensasikan kes berkenaan kerana dikhuatiri akan menjejaskan proses siasatan.
Pasukan petugas itu dianggotai oleh Tan Sri Abdul Ghani Patail; Tan Sri Abu Kassim Mohamed; Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull dan Datuk Abdul Hamid Bador. – K! ONLINE











