PETALING JAYA 29 Jun – Pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari yang menghadapi enam pertuduhan jenayah terpaksa menangguhkan pembedahan lutut yang sepatutnya dilakukan pada bulan lalu.
Farid, 37, berkata, keputusan diambil olehnya selepas mengambil kira faktor proses pemulihan selepas pembedahan yang mengambil masa selama enam bulan.
“Tempoh itu sekaligus akan menjejaskan karier seni dan jadual saya selain mengambil kira kes mahkamah yang sedang berlangsung,” katanya.
Farid ditemui selepas hadir ke Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi sebutan semula kes jenayah yang dihadapinya.
Mahkamah menetapkan 27 Ogos ini untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, peguam Faizul Mohd Nasir yang mewakili Farid memaklumkan bahawa pihaknya masih menunggu keputusan representasi yang dihantar kepada Jabatan Peguam Negara untuk menggugurkan kesemua kes dihadapi anak guamnya itu.
Turut hadir pada prosiding hari ini, isterinya Datin Diana Dianelle dengan berbaju kurung.
Mengulas lanjut mengenai penangguhan pembedahan lututnya, Farid berkata, buat masa ini dia menjalani rawatan fisioterapi bagi mengurangkan risiko kecederaannya sebelum mendapat tarikh baharu pembedahan.
“Saya tetap akan menjalani pembedahan kerana jika kecederaan itu dibiarkan ia akan bertambah teruk.
“Buat sementara ini, tawaran filem genre aksi saya tolak terlebih dahulu untuk kurangkan risiko kecederaan,” katanya.UTUSAN ONLINE











