BUTTERWORTH 29 Jun – Malaysia dan Australia telah memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan rantau ini.
Ketua Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) , Leo Davies berkata, ini kerana kedua-dua negara sentiasa peka terhadap perkembangan yang berlaku di kawasan sekitar.
Katanya, pada masa sama Australia dan Malaysia sedar kedua-dua negara tidak boleh gagal dalam memastikan kestabilan kepada negara masing-masing.
“Kita pantau situasi dan ia perlu diteruskan namun pada masa sama, saya percaya kedua-dua negara sangat menghormati hak negara lain,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Sambutan Ulang Tahun Ke -60 kerjasama membabitkan RAAF dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Butterworth, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Panglima TUDM, Tan Sri Affendi Buang.
Mengulas lanjut, Davies berkata, tahap kesiapsiagaan yang tinggi dipamerkan pasukan keselamatan kedua-dua negara membolehkan tugasan pengawasan lebih lancar bagi menghadapi sebarang situasi.
Sementara itu, Affendi berkata, hubungan erat TUDM dengan RAAF turut memberi kesan positif kepada aspek kestabilan rantau ini.
“Pada masa sama, TUDM juga mempunyai hubungan rapat dengan pasukan tentera udara negara jiran yang turut membantu dalam usaha menstabilkan rantau ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE.











