[VIDEO] Hasan setuju bayar ganti rugi RM200,000, kos RM25,000 - Utusan Malaysia

[VIDEO] Hasan setuju bayar ganti rugi RM200,000, kos RM25,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 Jun – Kes saman fitnah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad terhadap bekas Presiden Jalur Tiga Malaysia (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali berhubung isu jualan arak, kewujudan pusat judi dan rumah urut di Selangor kira-kira tiga tahun lalu, berjaya diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pesuruhjaya Kehakiman, Rohani Ismail merekodkan penghakiman persetujuan bahawa Hasan bersetuju membayar gantirugi RM200,000 dan kos RM25,000 kepada Khalid. 

Penyelesaian itu direkodkan dengan kehadiran Khalid yang diwakili peguam Muhammad Faiz Fadzil. 

Hasan tidak hadir ketika penyelesaian dibuat dan hanya diwakili oleh peguam Nik Alia Hanafi. 

Pada 29 April 2015, Khalid selaku pihak plaintif memfailkan saman itu dengan mendakwa Hasan mengucapkan kata-kata berunsur fitnah secara lisan dalam ceramahnya di Dewan Rukun Tetangga Seksyen 17 Shah Alam, pada 30 Januari 2012. 

Hasan mendakwa Khalid yang ketika itu ahli Jawatankuasa Pas Pusat menggalakkan penjualan arak dan kewujudan rumah-rumah urut di Selangor, ketika berucap pada suatu majlis forum terbuka sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).

Pihak plaintif mendakwa, video ucapan yang disunting dan dimuat naik ke laman media sosial YouTube itu, tidak berasas, tidak benar dan berunsur fitnah sehingga menjejaskan reputasi, imej dan nama baiknya, yang ketika itu merupakan AJK Pas Pusat.

Pada 25 Januari 2017, Hakim Datuk Hue Siew Kheng memerintahkan supaya Hasan membayar ganti rugi RM200,000 dan kos RM35,000 kepada Khalid selepas mendapati beliau difitnah secara politik berdasarkan keterangan dua saksi yang dikemukakan olehnya selaku pihak plaintif.

Namun begitu pada 27 Februari lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan Hasan tidak perlu membayar ganti rugi RM200,000 dan kos RM35,000 kepada Khalid selepas membenarkan rayuan bekas Exco kerajaan negeri Selangor itu. 

Mahkamah Rayuan berpuas hati bahawa Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika membatalkan pembelaan Hasan pada 16 Disember 2016 sewaktu mencapai keputusan yang memihak kepada Khalid.

Mahkamah Rayuan sehubungan itu mengarahkan perbicaraan kes saman itu didengar semula di hadapan hakim Mahkamah Tinggi berlainan. 

Susulan daripada rayuan tersebut, Mahkamah Tinggi mengararahkan kes didengar pada 29 Jun dan 5 Julai namun kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan kes ini. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN