Menjadi antara penyanyi dari seberang yang cukup dekat dengan peminat di negara ini, tentunya nama Datuk Rossa bukan asing lagi. Malah persahabatan yang terjalin antara dia dengan beberapa penyanyi ternama di negara ini juga menjadikan Rossa antara penyanyi Indonesia yang banyak membuat persembahan di negara ini.
Bagaimanapun kebelakangan ini ada yang bertanya mengapa Rossa sepertinya semakin menjauhkan diri dari Malaysia. Telahan yang dibuat ini berdasarkan semakin kurang dia hadir ke negara ini untuk membuat persembahan. Menyangkal perkara tersebut, jelasnya sehingga ke hari ini juga Malaysia masih lagi dekat dirinya malah lebih tepat setiap bulan juga dia masih berulang-alik ke negara ini.
“Saya masih berulang-alik seperti biasa ke Malaysia, malah hampir setiap bulan sebenarnya.
“Mungkin ada yang beranggapan begitu bila saya tidak membuat persembahan untuk umum, tetapi sebenarnya saya masih lagi menerima tawaran menyanyi di majlis-majlis tertutup seperti perkahwinan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Hampir 10 tahun bergelar ibu tunggal selepas bercerai dengan Yoyo yang juga pemain dram kumpulan Padi, ternyata sehingga hari ini juga Rossa atau nama sebenarnya Rossa Roslaina Sri Handayani, 37, tidak melihat ada yang perlu digusarkan dirinya. Malah ketika ditanya mengenai peneman hidup, Rossa dengan yakin memberitahu sehingga kini juga dia masih lagi solo.
“Belum lagi ketika ini. Alhamdulillah masih lagi bahagia,” katanya ketawa.
Pernah dikatakan sudah berkahwin dengan kerabat diraja dari Pahang, menurut penyanyi yang popular dengan lagu Pudar ini dia juga sebenarnya masih belum pernah berkahwin sehingga kini dan selesa dengan status yang dibawa.
“Saya masih belum berkahwin juga, masih lagi solo,” katanya lagi.
Potong rambut bukan sebab kecewa
Pernah dikaitkan bercinta dengan penyanyi kacak Afgan, baru-baru ini penampilan Rossa mula menimbulkan pertanyaan tersendiri. Memilih untuk tampil dengan potongan rambut yang pendek, ada yang mengusik dan mengaitkan ini disebabkan kekecewaan Rossa dalam percintaan.
“Memang benar ini kali pertama saya potong rambut pendek seperti ini, memang satu keputusan yang besar.
“Tetapi bukan sebab kecewa dalam percintaan buat saya potong rambut pendek begini,” katanya.
Akui rasa lebih segar dengan penampilan baharu ini, kata Rossa yang juga ibu kepada Rizky Langit Ramadhan,11 tahun, pada mulanya juga dia tidak begitu yakin dengan keputusan untuk memotong rambut.
“Pada mulanya memang agak bosan dengan potongan rambut yang sama, jadi saya minta pendapat pendandan rambut mengenai keputusan ini dan akhirnya dia meyakinkan saya untuk potong.
“Siapa tahu saya sangat menyukainya,” katanya.
Sementara itu, sambutan hari raya ini juga Rossa tidak terlepas untuk mengambil cuti panjang. Ini kerana jelasnya sambutan lebaran tahun ini juga dia dan keluarganya memilih untuk menunaikan umrah bersama.











