JOHOR BAHRU – UMNO akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tindakan pihak berkuasa itu membekukan akaun bank parti itu di peringkat Pusat dan negeri Selangor.
Calon Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, selaku individu yang menjalankan tugas Presiden, beliau akan berusaha membuktikan bahawa wang milik parti itu adalah sah dan tidak terbabit sebarang kegiatan haram.
“Saya akan menentang dan tidak akan membenarkan mana-mana pihak membuat ugutan dan melakukan diskriminasi terhadap UMNO. Ugutan dan penderaan politik bukan cara untuk mentadbir negara oleh mana-mana kerajaan di sebuah negara demokrasi.
“Saya berharap semua ahli akan bersama-sama saya berjuang untuk UMNO. Insya-Allah, UMNO akan bangkit sebagai sebuah parti Melayu dan bumiputera yang memperjuangkan kepentingan rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Terdahulu, Ahmad Zahid ketika ditemui pada majlis sambutan Hari raya Aidilfitri UMNO Johor mengesahkan akaun bank UMNO Pusat dan Selangor dibekukan oleh SPRM.
Ujar Ahmad Zahid, beliau tidak menolak kemungkinan akaun UMNO negeri-negeri lain turut mengalami nasib sama.
“Saya difahamkan, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga bakal meminta Pertubuhan Pendaftaran membatalkan pendaftaran UMNO.
“Kita tidak boleh jamin mana-mana Presiden UMNO, Timbalannya, Naib-naib Presiden dan ahli-ahli Majlis Tertinggi sekiranya menang pemilihan kali ini tidak akan disiasat (SPRM) kerana kita bukan lagi kerajaan. Ini termasuk juga (bekas) Menteri Besar,” katanya.











