SAMARA – Pemain pertahanan Colombia, Yerry Mina muncul wira buat skuad Los Cafeteros selepas meledak gol kemenangan 1-0 ke atas Senegal pada aksi terakhir Kumpulan H di Arena Cosmos semalam.
Jaringan tunggal tersebut sudah memadai buat Colombia apabila mara ke pusingan 16 pasukan terbaik Piala Dunia 2018, sekali gus muncul sebagai pendahulu kumpulan selepas mengumpul enam mata.
Kemenangan itu juga melegakan skuad kendalian Jose Pekerman apabila mara ke saingan kalah mata, sekali gus mampu menyamai rekod terbaik mereka ke saingan suku akhir ketika membuat penampilan pada Piala Dunia 2014 di Brazil.
Pada saingan tersebut, Senegal dilihat menguasai saingan selepas hampir menjaring gol awal ketika penyerang berbisanya, Sadio Mane dijatuhkan dalam kawasan kotak penalti.
Bagaimanapun, Video Bantuan Pengadil (VAR) memainkan peranan penting apabila mengesahkan tiada sebarang jatuhan, sekali gus Senegal terlepas peluang untuk mendapatkan sepakan penalti.
Bersambung babak kedua perlawanan, Colombia melakukan asakan ke pintu gol Senegal, namun cubaan tersebut menemui jalan buntu selepas gagal menembusi benteng pertahanan Senegal.
Bagaimanapun, Mina yang merupakan pemain pertahanan Barcelona bijak mencari ruang dan berjaya menanduk bola menerusi hantaran sepakan sudut Juan Fernando Quintero pada minit ke-73, sekali gus selesa menguasai sepanjang baki perlawanan.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Senegal dilihat ‘mati akal’ mencari jalan untuk menembusi gawang Colombia, namun segala percubaan Senegal dikawal baik David Ospina dalam separuh masa kedua.
Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Hasil keputusan tersebut, impian Senegal untuk ke pusingan kalah mati tidak kesampaian apabila menduduki tangga ketiga Kumpulan H selepas mengutip empat mata.
Meskipun Senegal berkongsi empat mata bersama Jepun, namun skuad Samurai Biru layak atas peraturan fair play setelah mengutip empat kad kuning berbanding Senegal enam kad kuning. – Agensi











