BUAT julung-julung kali dalam sejarah Piala Dunia menyaksikan Senegal menjadi pasukan pertama yang tersingkir daripada saingan berdasarkan aksi fair play dengan mengambil kira jumlah kutipan kad kuning dan kad merah oleh skuad dari Afrika tersebut.
Terdahulu, pasukan dengan jolokan The Lions of Teranga itu berkongsi mata, jumlah jaringan serta bolos dengan Jepun, namun pasukan Samurai Biru itu berjaya layak sebagai naib juara Kumpulan H di belakang Colombia selepas hanya mengutip empat kad kuning berbanding enam diraih Senegal sepanjang Piala Dunia kali ini.
Terdahulu, Jepun hanya memerlukan satu mata untuk melangkah ke peringkat kalah mati, namun mereka tewas 0-1 kepada Poland yang sudah pun tersingkir daripada saingan di Arena Vogograd semalam.
Colombia pula membuktikan tanggapan awal mengenai kemampuan skuad The Tricolors itu yang mula diragui selepas kalah kepada Jepun pada aksi pembukaan adalah silap sama sekali apabila muncul juara dengan menumpaskan Senegal 1-0 di Arena Cosmos menerusi jaringan Yerry Mina pada minit ke-74.











