KAZAN 28 Jun – Juara bertahan Jerman tersingkir daripada Piala Dunia dengan gaya cukup sensasi yang merupakan antara kejutan terbesar dalam sejarah kejohanan itu apabila mereka gagal melepasi pusingan awal buat kali pertama sejak 1938.
Kekalahan 2-0 Jerman kepada Korea Selatan hari ini bermakna sudah tiga kali berturut-turut penyandang juara tersingkir di peringkat kumpulan.
Nasib menimpa gergasi dunia itu mengulangi apa yang berlaku kepada juara 2006, Itali yang tersingkir di peringkat kumpulan empat tahun selepas itu, manakala Sepanyol tersingkir awal pada 2014 setelah muncul juara pada 2010.
Perancis yang muncul juara 1998 juga tersingkir di peringkat kumpulan pada 2002 manakala Brazil tersingkir di peringkat suku akhir 2006 setelah muncul juara dalam edisi sebelumnya.
Kekalahan skuad Die Mannschaft kepada Korea Selatan hari ini menyebabkan mereka terperosok di anak tangga terbawah Kumpulan F.
Jerman memulakan perlawanan itu dengan kesedaran bahawa hanya kemenangan dengan defisit dua gol akan membantu mereka menyertai kelompok 16 terakhir. Namun sebaliknya Sweden dan Mexico yang meneruskan kemaraan selepas wakil Eropah itu membelasah pasukan dari Amerika Utara berkenaan 3-0 di Yekaterinburg.
“Kekecewaan kerana kami tersingkir sangat besar,” kata jurulatih Jerman, Joachim Loew yang kini ditekan supaya meletak jawatan walaupun baru bulan lalu dia menandatangani penyambungan kontrak hingga 2022.
“Terlalu awal untuk saya menjawab, saya memerlukan beberapa jam untuk memikirkannya, kekecewaan yang saya alami sangat besar,” kata jurulatih berusia 58 tahun itu apabila ditanya sama ada dia akan meletak jawatan.
“Malam yang sangat-sangat mengecewakan bagi kami. Keadaan sukar digambarkan menerusi kata-kata.
“Kami mendapat,” kata pemain pertahanan, Mats Hummels.
Sementara itu walaupun gembira berjaya mengejutkan Jerman jurulatih Korea Selatan, Shin Tae-yong berkata dia berasa ‘kosong’ dan tidak terlalu meraikan kemenangan itu.
Kemenangan di Kazan Arena, memastikan Korea Selatan tidak menutup kempen Piala Dunia di anak tangga tercorot Kumpulan F, namun tidak mampu mengelakkan mereka daripada tersingkir ekoran kemenangan Sweden ke atas Mexico.
“Saya rasa seronok (mengalahkan Jerman), namun dalam masa sama saya berasa sedikit kekosongan, jadi emosi saya bercampur-baur.
“Semalam, kami kata, peluang kami hanya satu peratus dan saya beritahu pemain supaya berjuang hingga saat akhir selagi masih ada harapan,” katanya. – AGENSI











