JOHOR BAHRU 28 Jun – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi tempoh tiga bulan kepada pasukan khas yang dibentuk kerajaan negeri untuk mengkaji dan membawa langkah-langkah komprehensif bagi mengatasi kesesakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini.
Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pasukan khas yang dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Mazlan Bujang itu ditubuhkan bagi mengambil inisiatif melihat secara keseluruhan meliputi jangka panjang dan jangka pendek terhadap isu kesesakan berkenaan.
“Dalam taklimat tadi, saya telah minta tindakan-tindakan segera yang boleh diambil bagi mengurangkan masalah itu yang dihadapi sejak sekian lama.
“Isu ini saya kira perlu diberi perhatian dan kita akan beri tumpuan lebih tentang cara bagaimana untuk meningkatkan tahap keberkesanannya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan rasmi di CIQ, di sini hari ini.
Muhyiddin berkata, antara cadangan jangka pendek yang dibentangkan adalah memindahkan atau mewujudkan kaunter tambah nilai kad yang diguna pakai ke tempat lain dan tidak tertumpu di CIQ sahaja.
Beliau juga sudah mengarahkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk mengambil tindakan segera bagi mengatasi kesesakan tersebut.
Selain itu, katanya, KDN turut bersetuju untuk menambah jumlah kakitangan Jabatan Imigresen terutamanya yang bertugas di negeri ini.
“Mungkin tempoh tiga bulan akan datang pengambilan dibuat dan dalam Oktober, jawatan-jawatan di Johor akan dapat diisi supaya kaunter-kaunter tersedia boleh dibuka sepenuhnya,” katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, pihaknya akan memanggil pembekal pintu automatik digunakan di bangunan itu yang didakwa sering berlaku kerosakan di mana tindakan penyelenggaraan mengambil masa lama sehingga menimbulkan kesesakan.











