MUKADIMAH
PEMILIHAN UMNO esok dilihat sangat berbeza jika dibandingkan dengan sesi pemilihan parti sebelumnya. Pemilihannya lebih terbuka apabila jawatan Presiden dan Timbalan Presiden turut dipertandingkan.
![]() |
|
ISMAIL SABRI YAAKOB
|
Rata-rata pemerhati politik berpandangan langkah ini amat wajar dalam usaha memulih dan seterusnya memperkukuhkan lagi UMNO selepas Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Bersama wartawan Utusan Malaysia, SAIFULIZAM MOHAMAD, calon Naib Presiden, DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB berkongsi pandangannya tentang pemilihan yang bakal diadakan ini.
UTUSAN: Pandangan Datuk Seri tentang pemilihan UMNO kali ini?
ISMAIL SABRI: Pemilihan kali ini lebih terbuka dan minat ini nampak berbeza berbanding sebelumnya. Kalau dahulu untuk pemilihan Presiden dan Timbalan Presiden kadang-kadang tiada pertandingan. Dari segi keterbukaan nampak lebih jelas.
Datuk Seri menawarkan diri bertanding merebut jawatan Naib Presiden. Apakah sumbangan yang boleh Datuk Seri bawa untuk UMNO?
Pertama, membantu Presiden dan Timbalan Presiden membawa transformasi ke dalam parti. Keduanya, agenda mempertahankan Islam, Melayu dan bumiputera. Ini tidak boleh dikompromi. Selepas kemenangan Pakatan Harapan, mereka secara terbuka mempersoalkan hak keistimewaan orang Melayu dan cuba memasuki sempadan, misalnya mula persoalkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Jadi, perlu ada parti yang mampu mempertahankannya dan tidak lain hanya UMNO sahaja.
Mampukah UMNO mendapat kembali kepercayaan semula rakyat?
UMNO perlu mengembalikan semula kepercayaan rakyat dan salah satu manifesto saya misalnya adalah membawa suara rakyat ke peringkat tertinggi. UMNO mungkin selama ini dilihat parti elitis, feudal dan sebagainya. UMNO perlu menjadi parti yang dimiliki ahli dan rakyat, Perhimpunan Agung UMNO misalnya, dikawal dari segi apa yang mereka hendak perkatakan, begitu juga di peringkat bahagian. Ahli sepatutnya diberi kebebasan untuk bersuara. Di pihak UMNO, kita perlu memperkasakan peranan cawangan, mengurangkan pemusatan kuasa di peringkat tertinggi menerusi prinsip desentralisasi dengan kekuatan UMNO bergantung kepada keutuhan cawangan.
Apa bentuk pengajaran yang boleh diambil selepas kejatuhan BN pada PRU-14 lalu?
Mungkin Allah SWT hendak beri kesedaran. Mungkin juga kalau tak kalah, kita akan terus dengan cara lama dan akhirnya orang tetap tolak kita.
Adakah kegagalan menjawab isu 1MDB menjadi salah satu faktor kekalahan BN?
Ya, salah satunya adalah isu ini. Isu DOJ, isu derma RM2.6 bilion yang kita anggap hanya berlingkar di peringkat Melayu bandar. Apabila turun ke kampung kita tidak pernah bawa isu ini kerana merasakan orang kampung tak peduli. Anggapan ini salah. Mula-mula mereka tak faham tetapi anak-anak mereka di bandar balik dan menjelaskan kepada mereka, sebab itu saya kata isu ini penting.
Adakah Datuk Seri masih percaya kepada jenama BN atau BN wajar dibubarkan dalam bentuk suatu gabungan baharu?
Kita perlu lihat kembali tentang keperluan ini memandangkan BN hanya tinggal beberapa parti sahaja. Parti-parti komponen BN di Sarawak telah pun keluar. Daripada berbelas parti hanya tinggal beberapa sahaja rakan kongsi kita dan yang terbaharu, Gerakan. Saya percaya kepemimpinan baharu UMNO akan melihat secara keseluruhan kedudukan BN sama ada perlu kekal BN atau tukar jenama baharu.
Bagaimana pula tentang cadangan agar UMNO membuka keanggotaannya kepada bukan Melayu?
Itu pandangan peribadi yang memerlukan persetujuan ahli akar umbi serta melibatkan Perlembagaan parti. Datuk Onn Jaafar pernah mencadangkan perkara serupa tetapi tidak diterima. Perlu ada alasan. Lagipun jika kita lihat PRU-14 lalu UMNO masih memperoleh undi yang besar daripada orang Melayu. Sebaik-baiknya kita jenamakan semula UMNO apatah lagi dengan corak pemerintahan Pakatan Harapan yang dilihat membelakangkan hal ehwal Islam yang memungkinkan orang Melayu akan kembali kepada kita.
Bagaimana pula dengan kerjasama Pas-UMNO selepas PRU-14 ini?
Saya kira kita boleh bekerjasama dengan siapa-siapa sahaja, tidak terhad kepada Pas tetapi kepada sesiapa sahaja. Yang penting hak Melayu dan bumiputera sentiasa terpelihara. Begitu juga dengan kepentingan Islam dan Raja-raja Melayu.
Datuk Seri berada dalam pasukan mana pada pemilihan kali ini?
Pertandingan dalam UMNO kali ini lebih kepada pertandingan dalam keluarga. Oleh itu sepatutnya tiada pasukan dalam pertandingan kali ini. Kita perlu keluar daripada budaya lama. Kita perlu memilih calon yang ada integriti dan yang mampu membawa perubahan dan kecemerlangan kepada parti. Bukan kerana kapal.
Pandangan Datuk Seri tentang pentadbiran kerajaan sekarang?
Mereka ini hanya mahu menang PRU-14 dan mereka tahu orang Malaysia senang digula-gula dengan janji. Selepas itu apa nak jadi jadilah. Hakikatnya, kita tidak boleh menjadi populis semata-mata tetapi mesti berpijak atas bumi yang nyata. Janji menang esok turun harga minyak. Sudah tentu tak boleh. Kalau mahu turunkan harga minyak, perlu tingkatkan subsidi yang sudah tentu kosnya tinggi dan tidak mungkin harga daripada RM2.20 turun sehingga RM1.50. Berapa bilion perlu ditanggung?
Mungkin ada sedikit nasihat?
Cukuplah-cukuplah berpolitik. Rakyat sudah beri kepercayaan dan tanggungjawab kepada mereka untuk mentadbir. Tadbirlah dengan betul-betul. Tidak perlulah setiap kali membuat kenyataan, tujuannya mahu hentam kerajaan lama.
Nasihat untuk mereka yang keluar parti?
Mereka bukan sahaja khianati parti, tapi yang lebih besar mereka khianati rakyat. Tindakan keluar parti ini amat tidak bermoral dan tidak patut dilakukan.












