NAIROBI 28 Jun – Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh manakala lebih 70 cedera apabila sebuah pasar terbakar dalam kejadian di sini awal pagi ini.
Menurut perkhidmatan kecemasan St. John Ambulance, kejadian berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi waktu tempatan dan merebak dengan pantas sebelum dapat dikawal 90 minit kemudian.
Api juga merebak ke blok kediaman dan beberapa pondok kecil yang berada berhampiran pasar berkenaan.
Jurucakap pihak berkuasa, Kangethe Thuku berkata, angka korban kini mencecah 15 orang, meningkat berbanding jumlah sebelum ini yang dilaporkan sebanyak sembilan orang.
“Setakat ini, pihak hospital sudah menerima kira-kira lima mayat mangsa,” katanya.
Beliau bagaimanapun tidak dapat mengulas punca sebenar kebakaran tersebut.
Sebanyak sembilan daripada mangsa yang terkorban dalam kejadian itu maut di sebuah blok pangsapuri yang terletak bersebelahan dengan pasar terbabit manakala enam lagi mangsa termasuk empat kanak-kanak meninggal dunia akibat kecederaan parah di hospital.
Selain itu, seorang anggota polis yang berada di lokasi kejadian memaklumkan bahawa pasukan mencari dan menyelamat masih meneruskan operasi di kawasan sekitar.
Jelasnya, satu bahagian di pasar berkenaan tidak dapat dimasuki kerana berserabut dengan wayar hidup selain diselubungi asap tebal.
“Pasukan penyelamat cuba memasuki kawasan itu bagi mencari mangsa yang terperangkap tetapi berdepan masalah,” tambahnya.
Jurugambar Reuters yang berada di lokasi kejadian melaporkan banyak mayat dibawa keluar dari pasar dan bangunan yang terbakar.
Sementara itu, beberapa saksi memberitahu mereka terdengar bunyi letupan ketika kebakaran berlaku. – AGENSI











