Dua premis jual alat ganti kereta jenama Kia dan Hyundai tiruan diserbu - Utusan Malaysia

Dua premis jual alat ganti kereta jenama Kia dan Hyundai tiruan diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Taktik licik premis menjual alat ganti tiruan bersama alat ganti tulen gagal mengaburi mata pihak berkuasa selepas diserbu penguatkuasa daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor.

Memuatkan artikel berkaitan…

Serbuan selama dua hari bermula semalam itu telah dilakukan di enam premis sekitar daerah ini, Gombak dan Puchong.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Selangor, Azman Adam berkata, hasil serbuan tersebut, pihaknya berjaya mengesan dua premis di Puchong yang telah menjual alat ganti jenama Kia dan Hyundai tiruan.

Beliau berkata, serbuan tersebut dilakukan selepas pihaknya menerima aduan daripada orang ramai tentang penjualan alat ganti tiruan berkenaan sejak awal bulan ini.

“Sebanyak 123 buah alat ganti tiruan pelbagai jenis berjenama Hyundai dan Kia seperti penapis minyak, penapis udara, penapis bahan api dan tali sawat bernilai kira-kira RM24,060 dirampas.

“Pemeriksaan ke atas kedua-dua premis tersebut mendapati, mereka turut menjual alat ganti tulen bagi mengaburi pihak berkuasa dan juga pelanggan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Azman berkata, siasatan awal pihaknya mendapati bekalan alat ganti tiruan tersebut diperolehi dari Kuala Lumpur dan ia dijual kira-kira 30 peratus lebih murah daripada harga tulen.

“Bagaimanapun, kita masih mengesan pembekal asal barangan tiruan ini dan syarikat yang membekalkan alat tersebut.

“Oleh itu, saya nasihatkan kepada pengguna supaya membeli alat ganti tulen daripada syarikat pengeluar yang berdaftar. Ini kerana alatan ganti tiruan boleh menyebabkan pelbagai implikasi terhadap kenderaan,”ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini